BMF : Di mana kedudukan ekonomi Islam?

0
55

Bila bercakap mengenai Buy Muslim First atau BMF, apa yang kita nampak hanyalah membeli produk keluaran orang Islam, Melayu, Muslim atau bumiputera.

Di Lebuh Raya Utara Selatan menghala ke arah selatan terdapat satu papan iklan gergasi memaparkan produk kek bulan keluaran Muslim.

Kek bulan ini kita tahu begitu sinonim dengan masyarakat Cina dan siapa pengeluarnya.

Tetapi permintaan kek bulan dalam pasaran Muslim tetap ada kerana mempunyai kelompok penggemarnya dan adakala ia boleh dijadikan cenderamata kepada rakan-rakan Muslim lain pada musim perayaan.

Ini baru kek bulan. Belum lagi bercakap mengenai produk-produk lain. Usaha ini walaupun kecil namun, ia sewajarnya dipuji kerana inisiatif untuk memecah dominasi pengeluar bukan Muslim bukan satu perkara yang mudah.

Bagaimana pula dengan peniaga lain? Bila bercakap mengenai BMF kita berlumba-lumba ingin membeli barang keluaran syarikat Muslim dalam pasaran.

Malah, kita mewujudkan kempen BMF dan sesiapa yang tidak menyertainya seolah-olah tidak menyokong bangsa sendiri.

Tetapi, tanpa kita sedar kebanyakan produk ini bukanlah dalam kelompok barangan utama. Nak kata produk makanan sepenuhnya pun tidak sebab kita masih perlu membeli dari jenama terkenal kerana tiada pengeluar Muslim.

Begitu juga kewujudan pasar raya Muslim (hanya boleh dibilang dengan jari), semua produk tidak semestinya keluaran Muslim. Masih ada jenama-jenama bukan muslim dijual.

Dalam konteks ini, kukuhkah ekonomi Islam yang kita uar-uarkan itu? Atau hakikatnya tidak wujud istilah ekonomi Islam yang sebenarnya.

Seorang pakar kewangan Islam sebelum ini pernah berkata, ekonomi Islam itu hanya wujud jika keseluruhan rantaian proses adalah halal.

Ia bermula daripada pembiayaan Islam, pengeluaran bahan mentah hinggalah kepada perkhidmatan dan produk yang mahu ditawarkan.

Namun, rantaian ini tidak wujud sepenuhnya. Masih ada cacat cela. Produk keluaran Muslim tapi bahan mentahnya masih bergantung pada pihak lain, begitu juga jika mahu mendapatkan pembiayaan, perbankan Islam bukan pilihan.

Ada pihak melihat industri perbankan Islam di Malaysia seolah-olah lesu tetapi statistik menunjukkan kewangan Islam kini menyumbang 34.1 peratus daripada jumlah pembiayaan berbanding 14.9 peratus pada 2008 manakala aset kewangan Islam sebanyak 31.4 peratus berbanding hanya 14 peratus pada 2008.

Jika mahu bangunkan BMF, usahlah terlalu emosi, sebaliknya lihatlah apa kelemahan kita dan perbaikilah rantaian ekonomi Islam itu sendiri.

Adakah kita menyokong keseluruhan ekonomi Islam ini, atau sekadar menjadikan BMF sebagai kosmetik. – MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here