Bolehkah keusahawanan selesaikan masalah pengangguran?

0
24

Isu pengangguran saban tahun menghantui ramai graduan di negara ini.

Ibu bapa juga menaruh harapan tinggi untuk melihat anak-anak mereka mampu mendapat pekerjaan yang baik sesuai dengan kelulusan.

Bagi yang bernasib baik mungkin sudah memperoleh pekerjaan ketika di tahun akhir pengajian atau selepas tamat belajar.

Tetapi bagaimana pula bagi mereka yang kurang bernasib baik? Setelah banyak permohonan dibuat semuanya sepi begitu sahaja.

Walaupun kadar pengangguran setakat Julai 2019 yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan kekal 3.3 peratus, namun situasi graduan menganggur secara dasarnya amat membimbangkan.

Ini belum lagi termasuk mereka yang kehilangan pekerjaan dan juga tercari-cari peluang yang sama sekali gus menjadikan pasaran pekerjaan semakin kompetitif.

Berdasarkan laporan Jabatan Tenaga Kerja, seramai 24,600 orang diberhentikan kerja oleh majikan bagi tempoh Januari hingga September tahun ini.

Sektor pembuatan mencatatkan kehilangan pekerjaan tertinggi iaitu seramai 7,944 orang.

Kerajaan sendiri melaksanakan pelbagai inisiatif untuk membantu mereka mendapatkan pekerjaan antaranya, menyediakan perkhidmatan JobsMalaysia, Program Penempatan Pekerjaan, melaksanakan program Graduates Enhancement Programme for Employability (GENERATE 2.0) dan memperluas akses untuk mendapatkan Latihan dan Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Tetapi hakikat yang perlu kita tahu, bukan mudah untuk mendapatkan pekerjaan sekalipun Menteri Sumber Manusia, M Kula Segaran sebelum ini berkata, terdapat 640,000 pekerjaan sedia ada dengan 150,000 pekerjaan diwujudkan tahun ini.

Keadaan ini berlaku kerana majikan sebenarnya mahukan pekerja yang berpengalaman tetapi membayar gaji tidak setimpal. Graduan pula mahukan pekerjaan tetapi majikan tidak berminat kerana tiada pengalaman walaupun kos tenaga buruh mereka adalah rendah.

Dilema. Akhirnya, jalan keluar dari situasi ini adalah memilih menceburkan diri dalam bidang keusahawanan.

Namun, adakah ini jalan terbaik? Mereka menjadi usahawan tanpa persediaan, tiada pengetahuan mengenai selok belok menguruskan kewangan dan lebih buruk, tidak melakukan kajian pasaran untuk mengetahui kehendak pelanggan.

Mereka ini akhirnya menjual produk yang sama dan menjadi lambakan dalam pasaran. Duit yang dilaburkan pula hangus begitu sahaja.

Bagi graduan mahupun mereka yang hilang pekerjaan, jangan jadikan bidang keusahawanan sebagai jalan pintas untuk mendapat wang. Ketahui dahulu pasaran, kenali produk dan apakah strategi pemasaran yang mahu dilaksanakan.

Jika ini dibuat dengan cara yang betul, ia boleh membantu mengatasi masalah pengangguran, tetapi jika tidak, ia akan menambah perit sedia ada. – MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here