Di sebalik sarapan percuma

0
58

Tentunya ini satu lagi berita yang membuatkan semua ibu bapa berasa lega dan gembira dengan pengumuman yang diberikan oleh Kementerian Pendidikan.

Apa tidaknya, bermula Januari tahun depan semua anak-anak kita akan diberikan sarapan secara percuma.

Berbanding sebelum ini hanya untuk anak di dalam keluarga berpendapatan 40 peratus terendah (B40) sahaja.

Melalui program sarapan percuma khas untuk anak-anak di sekolah rendah di seluruh negara itu, anak-anak akan disediakan sarapan enak berpandukan menu yang sihat dan ia adalah percuma sama ada bagi yang bersekolah sesi pagi mahu pun sesi petang tidak terkecuali.

Kementerian itu akan memastikan setiap pelajar yang hadir ke sekolah pada tahun hadapan akan menikmati makanan percuma sebelum sesi pembelajaran bermula.

Namun di sebalik makanan percuma itu, ada perkara penting iaitu proses pendidikan sivik dan disiplin dapat diterapkan dalam kalangan pelajar.

Kementerian bukan sahaja memberi makanan berkhasiat dalam membentuk generasi baharu yang sihat, malah mendidik anak-anak mengenai sivik dan disiplin.

Sebelum makan basuh tangan, lepas makan kena kemas. Mereka semua ini akan makan bersama guru.

Selain itu, program sarapan percuma ini dilakukan bagi membolehkan murid-murid sekolah rendah untuk kekal sihat dan bertenaga sepanjang sesi persekolahan.

Memetik kajian pakar pemakanan tiga pusat pengajian, Universiti Oxford, Cambridge, Glasgow dan St George mendapati tabiat tidak mengambil sarapan pagi secara sihat dalam kalangan kanak-kanak boleh mengundang risiko menghidap penyakit diabetes apabila usia mereka meningkat dewasa.

Tahap insulin yang tinggi boleh mengakibatkan badan kanak-kanak untuk kurang bertindak-balas terhadap perkembangan hormon yang kebiasaannya akan mengawal jumlah gula dalam aliran darah.

Risiko tersebut boleh berlaku disebabkan tahap insulin dalam badan kanak-kanak, sekali gus menjadi faktor utama penyakit tersebut.

Bukan itu sahaja, adalah didapati bahawa kanak-kanak yang tidak mengambil sarapan secara sihat akan lebih cenderung untuk memakan makanan yang mengundang kepada kegemukan pada waktu tengah hari atau malam.

Amalan sarapan secara sihat dalam kalangan kanak-kanak sebagai diet seimbang boleh mendapat banyak manfaat bagi mengelakkan golongan itu terdedah kepada kebanyakan penyakit. -MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here