Faizul hadir sokong rakan dalam keadaan leher berbalut

0
36
Keadaan terkini Faizul selepas dibenarkan keluar dari wad, hari ini.

SHARAIMEI SHAIK AHMEDULLAH

MANILA 5 Dis. – Meskipun mengalami kecederaan serius di kepala sehingga tidak sedarkan diri selama enam jam akibat disepak di bahagian muka oleh pihak lawan dalam acara pencak silat semalam, pesilat negara, Faizul Nasir tetap bersemangat untuk turun ke gelanggang bagi menyokong pesilat negara.

Faizul yang masih dalam kesakitan dan berbalut di bahagian leher, hadir bagi memberi semangat kepada rakannya, Zulfazly Zulfakar yang turun beraksi bagi menyelamatkan maruah skuad silat negara hari ini.

Dalam perlawanan itu Zulfazly berjaya menewaskan peserta Indonesia, Hanifan Kusumah dengan kiraan 3-2 dalam kategori tanding putera D.

Kemenangan itu sekali gus menyelamatkan maruah skuad silat negara yang menyasarkan untuk memenangi dua pingat emas dalam temasya Sukan SEA kali ini.

Semalam, Faizul yang tidak sedarkan diri ketika tewas kepada peserta tuan rumah, Dines Dumaan pada pusingan awal Kelas Putra B (50- 55kg), dilihat terbaring lebih tiga minit tanpa mendapat bantuan perubatan ketika wasit sedang mengira mata sebelum mengumumkan kemenangan 5-0 untuk Dumaan.

Selepas itu, barulah Faizul dikejarkan ke hospital dari Pusat Pameran dan Konvensyen Subic Bay. Faizul yang mula sedarkan diri selepas menjalani rawatan MRI di Pusat Perubatan Clark City, Filipina mengucapkan terima kasih kepada semua yang mendoakannya dan melawatnya di hospital.

“I dont need anything just wanna say sorry because i cant contribute a medal for our country and support my teammates now”.

“Buat CDM Datuk Megat Zulkarnain Omardin dan En. Jefry my mission was failed. Nothing i can do just want to recover faster and support my teammates, Zulfajly in the final,” tulisnya dalam satu status di laman Facebooknya hari ini.

Sementara itu, dalam status berasingan, beliau memaklumkan sudah semakin pulih dan cergas.

Pada masa sama, beliau turut memaklumkan akan pulang ke tanah air pada Sabtu ini dan seterusnya mendapatkan rawatan susulan di Institut Sukan Negara. – #MalakatTribune

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here