Malakat Mall peluang usahawan bumiputera kembangkan perniagaan

0
44

CYBERJAYA 26 Nov. – Malakat Mall bakal menjadi revolusi perniagaan bumiputera yang bakal menguasai 60 peratus daripada pasaran runcit.

Kajian menunjukkan sektor peruncitan bumiputera masih tidak berkembang kerana tidak dapat menyertai pasaran.

Berdasarkan analisis data, senario ini berlaku kerana bumiputera tiada akses kepada pasaran.

Justeru dengan pembukaan pusat beli belah seperti Malakat Mall, ia dapat meningkatkan penyertaan usahawan bumiputera dalam pasaran runcit.

Menurut Ketua Pegawai Operasi Malakat Mall, Istighfar Hamidon, sasaran pusat beli belah ini adalah untuk membolehkan kehadiran perusahaan bumiputera dalam industri peruncitan dengan mengurangkan pemilikan asing daripada terlibat dalam pasaran.

“Satu fakta yang jelas industri runcit di Malaysia kini bernilai RM110 bilion. Walaubagaimanapun, syarikat asing yang menerima manfaat ekonomi langsung di sektor runcit terbesar.

“Mereka mendapat lebih 60 peratus daripada saiz pasaran. 32 peratus selebihnya dikuasai oleh bukan bumiputera. Hanya peratus yang amat sedikit iaitu lapan peratus dimiliki oleh bumiputera”, katanya.

Terdapat beberapa faktor senario ini berlaku termasuk sewa sangat tinggi di pusat beli belah dan ada juga yang mampu tetapi tidak diberikan tempat yang strategik di pusat beli belah.

Tambah Istighfar, objektif utama Malakat Mall bukanlah hanya untuk mewujudkan pusat beli belah barangan bumiputera tetapi mahu membina ekosistem ekonomi yang membolehkan komuniti berbelanja mendapat manfaat langsung.

Ini semua mampu diselesaikan dengan hanya menyatukan kuasa pembelian kita kerana Malakat Mall mempunyai model perniagaan yang unik.

“Kami tidak mengenakan sewa kepada penyewa. Semua usahawan ialah rakan kongsi melalui perkongsian revenue sebanyak 20 peratus sahaja. Berbeza dengan amalan biasa di pusat beli belah sedia ada, mereka harus membayar sewa dan ‘revenue sharing’. Selain itu, semua usahawan akan dipimpin hingga berjaya. Ini adalah melalui bimbingan, latihan dan dibantu sebagai rakan usahasama.

“Malakat Mall akan dijadikan pusat perkembangan dan latihan komuniti akan diberikan secara berterusan yang melibatkan seluruh komuniti. Pusat beli belah ini juga memainkan peranan sebagai pusat transformasi perniagaan. Para peniaga akan mampu menyatukan pembelian barangan umum untuk mengurangkan kos operasi mereka,” jelasnya.

Justeru, setiap usahawan haruslah memiliki produk yang sesuai dan unik. Imej haruslah setanding dengan jenama luar negara. Bimbingan akan diberikan kepada mereka agar mencapai penanda aras ini.

Menariknya, semua kedai di Malakat Mall tidak akan menerima tunai. Sebab semua transaksi akan menggunakan aplikasi komuniti iaitu Raudhah Pay.

Berbeza dengan pusat beli belah lain, di sini akan ada tujuh minit masa rehat untuk solat sebaik sahaja azan berkumandang dan solat boleh dilakukan di mana sahaja.

Semua ruang yang bersih akan dibekalkan dengan bangku yang mempunyai sejadah. Supaya semua dapat menunaikan solat di awal waktu. Sama ada dalam restoran mahupun di lobi dan ini juga akan menjadi tarikan pelancong untuk memahami kehidupan Islam. – MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here