‘Rezeki Allah itu maha luas’

0
52
Gambar Instagram Mila Jirin

CYBERJAYA 24 Nov. – Ditanya seorang wanita membuatkan seorang artis, Mila Jirin menceritakan mengapa beliau tidak lagi meneruskan kerjayanya sebagai seorang penyanyi sejak kebelakangan ini.

Perkongsian itu dimuat naik dalam akaun Instagram miliknya yang menceritakan pertemuan dengan seorang wanita berusia lewat 50-an di sebuah restoran makanan segera di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang baru-baru ini.

Menerusi perkongsian itu, Mila berkata, dia disapa seorang wanita yang membersihkan meja di restoran tersebut sambil bertanya mengapa tidak menyanyi lagi.

“Dah tak aktif dalam industri hiburan, sibuk jaga anak,” balasnya sambil membalas senyuman wanita tersebut.

Wanita itu terkejut dengan jawapan diberikan Mila kerana penyanyi berkenaan memiliki suara yang baik dan perlu diteruskan bidang tersebut.

“Patut la lama makcik tak dengar lagu Mila, awat (kenapa) lagu tu (mengapa jadi begitu). Nyanyilah balik, dah ada suara,” kata wanita tersebut.

Mila atau nama sebenarnya Norsyarmilla Jirin cuba menamatkan pertanyaan wanita tersebut dengan menyatakan suaminya tidak mengizinkannya.

“Mana boleh tak bagi, dulu tak kahwin bagi? La dah kahwin tak bagi? tengok yang lain dah kahwin boleh (menyanyi),” kata wanita tersebut yang serius ketika berhujah.

Juara Akademi Fantasia musim kelima itu menjawab “Insya-Allah makcik, jika Allah izinkan,” katanya dalam hati dan semoga tiada lagi soalan kenapa dia tidak menyanyi lagi.

Mila yang mendirikan rumah tangga dengan suaminya, Ahmad Ailis Mustapha pada 2015 berkata, ketika di dalam kapal terbang, dia terfikir betapa percaturan Allah itu yang maha terbaik.

“Allah tidak izinkan saya terbang jauh dalam industri hiburan ada sebab dan asbabnya. Saya yakin dengan apa yang dah Allah rancang buat saya,” ujarnya.

Milla yang kini mengusahakan perniagaan Bizmilla Catering, Bizmilla Travel, The Bridal Factory dan Bizmila Trading menceritakan bergelar anak seni bukan sesuatu yang mudah.

“Kenangan-kenangan kesusahan, hanya anak-anak seni yang tahu bagaimana. Pernah dulu, sebulan tiada pendapatan dan bayangkan saya menyara keluarga sepenuhnya memang amat mencabar.

“Tawakal seorang anak seni dalam mencari rezeki ini hebat, cara anak seni bekerja tidak siapa peduli dan yang tahu kecuali anak seni itu sendiri,” katanya.

Tambahnya, dia suka melihat bagaimana seorang anak seni itu berjinak dalam dunia perniagaan disaat masih berada dalam pusingan atas dalam roda kerjaya mereka sebagai anak seni.

“Saya pernah mengalami zaman kegemilangan itu dan juga telah merasai zaman kesuraman juga. Allahuakbar, saya bersyukur 11 tahun lepas encik suami @isz_mustapha (Ahmad Ailis) memberi input untuk saya tidak berada dalam zon selesa sebagai anak seni dan memberi pendedahan dalam dunia keusahawanan,” ujarnya.


Pelantun lagu Persis Mutiara itu berkata, apa sahaja peluang yang ada didepan mata mahupun diberikan, tidak pernah berkata ‘tidak’ walaupun ada yang keuntungannya tidak setimpal dengan usaha diberikan.

“Saya tetap lakukan demi untuk mengutip ilmu dalam dunia keusahawanan. Rezeki Allah itu maha luas, jika ikhlas dalam melakukannya, pasti Allah bagi jalan,” ujarnya. – MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here