10 kali gagal interview, Pemuda OKU jadi penternak keli

0
65

CYBERJAYA 4 Jan.- Sebanyak 10 kali hadir sesi temuduga namun, rezeki masih belum berpihak kepada pemuda Orang Kurang Upaya (OKU) dari Kampung Kurong Batang di Kangar, Perlis.

Situasi itu menyebabkan Nor Badrul Iman Azmi, 35, bertekad untuk bekerja sendiri dengan menceburkan diri dalam bidang penternakan ikan keli bagi menyara keluarga.

“Kalau nak diikutkan, sudah 10 kali saya menghadiri sesi temuduga. Sampai ke Selayang, Selangor dan Negeri Sembilan saya pergi semata-mata untuk dapatkan kerja.

“Tapi apakan daya rezeki itu belum ada untuk saya bekerja ‘makan gaji’. Akhirnya peluangnya hadir untuk saya bekerja sendiri dalam bidang penyernakan ikan keli.

“Kecacatan di bahagian kaki sering menjadi isu utama bila saya hadir temuduga, mereka lebih pandang kekurangan itu berbanding kelayakan yang saya ada,” katanya seperti dilaporkan portal Rakyat Today hari ini.

Nor Badrul Iman memegang diploma kulinari perhotelan yang juga OKU di bahagian kaki berkata, atas faktor tersebut beliau bertekad untuk mengubah nasib diri.

“Saya menceburi bidang ternakan ikan keli sejak tiga tahun lalu dengan dibantu kakak sulung yang memberikan modal permulaan.

“Kakak juga ada bantu saya dalam urusan harian dan berbekalkan semangat yang diberi, saya mulakan perniagaan secara kecil-kecilan dan sederhana ini.

“Tipulah kalau kata tidak pernah gagal, malah saya pernah diketawakan hanya kerana menternak ikan. Tetapi sekurangnya saya tidak menagih simpati orang ramai,” katanya.

Dalam pada itu katanya, golongan OKU kini perlu berdikari dan berdiri atas kaki sendiri tanpa mengharapkan bantuan orang lain.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here