CEO Boeing letak jawatan

0
50

CYBERJAYA 25 Dis – Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Boeing Dennis Muilenburg meletak jawatan dan Pengerusi syarikat David Calhoun dinamakan oleh Lembaga Pengarah sebagai penggantinya, menurut syarikat penerbangan Amerika Syarikat itu pada Isnin.

Boeing menyatakan, Calhoun akan mengambil alih tugas sebagai ketua eksekutif dan presiden bermula 13 Januari 2020 dan beliau kekal sebagai anggota Lembaga Pengarah.

Ia turut menyatakan, ahli lembaga pengarah, Lawrence Kellner akan menjadi Pengerusi bukan eksekutif Lembaga Pengarah, berkuat kuasa serta merta.

“Perubahan kepemimpinan perlu dilakukan bagi mengembalikan keyakinan terhadap syarikat bagi membolehkannya terus berdaya maju ketika ia berusaha memulihkan hubungan dengan badan pengawal undang-undang, pelanggan dan pemegang taruh lain,” kata syarikat itu memetik laporan Bernama.

Sementara itu, Boeing melantik Niel Golightly sebagai naib presiden kanan komunikasi, yang akan memulakan tugas pada 1 Januari.

“Golightly, 61, buat sementara waktu akan melapor kepada CEO sementara, Greg Smith dan selepas itu kepada Presiden dan CEO, David Calhoun bermula 13 Januari,” kata Boeing.

Smith, yang kini menjadi ketua pegawai kewangan, akan bertindak selaku CEO sementara dalam tempoh peralihan itu.

Golightly menggantikan Anne Toulouse, yang sebelum ini mengumumkan hasrat untuk bersara pada awal 2020.

Muilenburg meletak jawatan ketika gergasi penerbangan itu bergelut merebut kembali keyakinan di kalangan badan pengawal undang-undang, pelanggan dan orang awam selepas dua nahas udara membabitkan pesawat Boeing 737 MAX, mengorbankan 346 penumpang dan anak kapal.

Boeing berkata, kepemimpinan baharu akan memacu syarikat dengan komitmen baharu, penuh ketelusan termasuk komunikasi lebih efektif dan proaktif dengan FAA, badan pengawal global serta pelanggan.

Pesawat komersial paling laris Boeing, 737 MAX dilarang terbang di seluruh dunia pada Mac 2019 ekoran dua tragedi buruk berkenaan, satu di Indonesia dan satu lagi di Ethiopia, pada awal tahun ini.

Usaha membolehkan pesawat itu kembali terbang tertangguh selepas Pentadbiran Penerbangan Persekutuan AS (FAA) pada awal bulan ini berkata, ia tidak akan mentauliahkan semula 737 MAX sehingga 2020, memusnahkan harapan Boeing yang mahu pesawat itu kembali terbang pada akhir tahun ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here