INSKEN tawar program bantu usahawan

0
101

RAUDHAH CITY – Para usahawan di negara ini digalakkan untuk mengikuti program-program yang dianjurkan oleh Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) bagi meningkatkan hasil jualan masing-masing.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Muhd. Firdaus Azharuddin berkata, INSKEN ketika ini berada di landasan tepat dengan menawarkan pelbagai inisiatif sekali gus memberi bimbingan kepada usahawan di seluruh negara.

Katanya, program yang dirangka oleh INSKEN yang lebih khusus dan spesifik pada ketika ini juga diyakini dapat mengubah prestasi usahawan dengan adanya sesi pementoran perseorangan mengikut industri.

“Kita meletakkan sasaran usahawan yang menyertai program yang ditawarkan di INSKEN dapat meningkatkan hasil jualan sebanyak 20 peratus dalam masa empat bulan. Kita juga akan bantu dan pantau mereka.

“Buat masa ini juga INSKEN menyediakan lebih sembilan program yang membantu usahawan dalam pelbagai industri dan kami akan terus menambah program yang bersesuaian dengan keperluan usahawan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menjadi speaker dalam Konvensyen Kewangan Keusahawanan Islam (KKKI) yang disertai kira-kira 900 peserta di Kompleks Brainy Bunch di sini hari ini.

KKKI menampilkan sembilan individu berjaya dalam perniagaan antaranya Pengasas Kumpulan Brainy Bunch dan Raudhah City, Mohd. Fadzil Hashim; Ikon Usahawan Berjaya, Azlan Al Amin; Certified Master Trainer & Coach NLP, Fadzli Yusof dan Jurutera Forensik Kewangan, Zaidi Ismail.

Selain itu turut sama Principal Irealty, Erman Taib; Pengarah Pusat Pengurusan Wakaf, Dr. Razali Othman; Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan dan Ketua Islamic Relief Malaysia, Zairushahfuddin.

Mengulas mengenai peningkatan hasil usahawan, Mohd. Firdaus berkata, secara keseluruhan pada tahun lalu, pihaknya berjaya meningkatkan sebanyak RM8.9 juta pendapatan usahawan selain mewujudkan pelbagai peluang pekerjaan.

“Kita bantu usahawan untuk terus maju dan dalam masa yang sama main peranan membantu masyarakat dengan mewujudkan peluang pekerjaan. Mereka juga turut menyumbang kepada kepada pertumbuhan ekonomi melalui cukai selain zakat,” katanya.

Dalam pada itu katanya, INSKEN ketika sedang giat menganjurkan program Rahsia Data Pelanggan di seluruh negara dan melalui program itu usahawan dapat mempelajari pelbagai teknik untuk naikkan jualan.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here