Kerana jajan 30 sen, Muhazrol ubah kehidupan

0
1513

RAUDHAH CITY – Kecewa kerana tidak mampu beli jajan berharga 30 sen membuatkan seorang bapa bangkit untuk mengubah kehidupan sekeluarga.

Itu dilalui oleh Ketua Pegawai Eksekutif Ireal Property Sdn. Bhd., Muhazrol Muhamad kembali bangkit untuk berjaya.

Menurutnya, segalanya bermula sebelum 2010 apabila dia mengambil keputusan berhenti kerja dan menceburi bidang perniagaan.

Tambahnya, bermodalkan RM20,000 yang dikongsi bersama isterinya beliau melabur dalam produk kecantikan namun gagal.

“Dengan ada beberapa ribu ringgit saya dan isteri berniaga di bazar Ramadan dan pasar malam yang memberi sedikit cahaya kepada kami sekeluarga,” katanya ketika ditemui selepas Konvensyen Kewangan Keusahawanan Islam di Ibu pejabat Kumpulan Brainy Bunch di sini hari ini.

Tambah Muhazrol, ketika kehidupannya sukar, telur dan ikan bilis menjadi makanan ruji sekeluarga.

“Suatu hari ketika mahu membeli telur anak saya mahukan jajan berharga 30 sen tetapi saya sudah tiada duit lalu memberitahunya tidak membelinya.

“Bermula saat itu saya mahu mengubah kehidupan ini dengan kembali semula bekerja makan gaji dengan institusi perbankan,” ujarnya.

Namun panas tidak berpanjangan apabila beliau sekali lagi diberhentikan kerja tetapi tidak lama selepas itu diperkenalkan mengenai dunia hartanah.

“Alhamdulillah dunia hartanah nampak asing dan produknya mahal tetapi bukan senang nak jadi namun kalau menjadi sah senang.

“Bermula 2010 saya berkenalan dengan dunia hartanah lalu mempelajari selok belok tentang industri itu dan akhirnya jumpa satu formula serta berjaya memperoleh pendapatan tetap.

“Saya berjaya melangsaikan hutang kad kredit, pinjaman peribadi selain beberapa tunggakan lain,” katanya.

Bermula saat itu katanya, terhasil impian untuk membawa lebih ramai orang menceburi bidang itu.

Tambahnya, ketika terlibat dalam industri ini beliau berjumpa dengan pelanggan yang menyatakan tidak pernah berjumpa ejen hartanah daripada orang Melayu.

“Saya merasakan kenapa bukan bangsa sendiri yang mendapat manfaat dalam perniagaan ini.

“Jadi saya kembangkan pasukan perniagaan itu dan alhamdulillah akhirnya kami berjaya ada satu syarikat hartanah dengan 300 ejen,” katanya.

Menurutnya, beliau berasa puas apabila melihat pasukannya mendapat pulangan pendapatan yang amat membanggakan hasil jerih perih membina sebuah jenama syarikatnya.

Nasihat beliau kepada masyarakat diluar sana supaya jangan mengalah dan jika percaya pada sesuatu, Allah akan bagi selagi terus melakukan sesuatu pekerjaan atau bidang yang diusahakan. – MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here