Kes jangkitan virus polio dikesan di Sabah selepas 27 tahun

0
21
Seorang kanak-kanak mengalami kecacatan di bahagian kaki kanan akibat jangkitan virus polio

CYBERJAYA 8 Dis. – Seorang bayi lelaki berusia tiga bulan dari Tuaran, Sabah disahkan dijangkiti virus polio, setelah 27 tahun Malaysia bebas daripada penyakit tersebut.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah, bayi lelaki warganegara Malaysia itu mengalami demam diikuti dengan lemah anggota badan dan telah dimasukkan ke unit rawatan rapi di hospital.

“Bayi ini telah disahkan dijangkiti vaccine-derived poliovirus type 1 (VDPV1) pada 6 Disember lalu. Hasil ujian pengesahan yang dijalankan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Polio Regional Laboratory di Australia, virus tersebut mempunyai perkaitan genetik dengan virus polio yang dikesan pada kes Acute Flaccid Paralysis (AFP) di negara Filipina. Seterusnya, vaccine-derived poliovirus type 1 ini diklasifikasikan sebagai circulating vaccine-derived poliovirus type 1 (cVDPV 1).

“Pesakit kini masih dirawat di wad isolasi dan berada dalam keadaan stabil tetapi masih memerlukan bantuan pernafasan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dr. Noor Hisham berkata, cVDPV berasal daripada virus polio yang telah dilemahkan di dalam vaksin polio yang diberi secara oral.

Katanya, virus yang dilemahkan itu dikumuhkan oleh badan melalui najis.

“Dalam persekitaran yang tidak sanitari, ia boleh menjangkiti orang lain yang tiada imuniti terhadap polio dan ia terus tersebar dalam komuniti yang liputan imunisasi polio kurang daripada 95 peratus.

Semakin lama virus itu tersebar dalam komuniti tersebut, ia mengalami mutasi genetik hingga menjadi virus yang kembali aktif. Virus ini dipanggil vaccine-derived poliovirus (VDPV) dan boleh menyebabkan poliomyelitis. Namun begitu, untuk mereka yang telah divaksinasi dengan vaksin poliomyelitis, mereka akan mendapat perlindungan daripada jangkitan penyakit tersebut,” jelasnya.

Tambahnya, sehingga 5 Disember lalu, hasil siasatan di kawasan tempat tinggal kanak-kanak yang dijangkiti polio di kawasan itu didapati 23 daripada 199 orang (11.6 peratus) yang berumur di antara dua bulan hingga 15 tahun tidak menerima vaksin polio.

Beliau berkata, ini merupakan satu keadaan yang sangat merunsingkan kerana penularan jangkitan cVPDV hanya boleh ditamatkan dengan imunisasi polio.

“Bagi memastikan virus polio yang dikesan ini tidak terus menular di Malaysia dan menyebabkan poliomyelitis dalam kalangan mereka yang tiada imuniti terhadap jangkitan polio, aktiviti pemberian imunisasi polio akan diteruskan di kawasan tempat tinggal kes dan diperluaskan ke kawasan lain yang berisiko. Ia bagi memastikan liputan imunisasi polio yang tinggi, iaitu melebihi peratus,” ujarnya.#MalakatTribune

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here