Lebih 1,000 produk IKS di Malakat Mall

0
205

RAUDHAH CITY – Lebih 1, 000 produk Industri Kecil dan Sederhana (IKS) akan dipasarkan di pasar raya Raudhah Grocer di Malakat Mall menjelang pembukaan rasminya Mac ini.

Pengurus Malakat Mall, Farah Hazwani Amir Hashim berkata, jumlah tersebut mungkin bertambah jika masih ada usahawan IKS mahu memasarkan produk mereka di pasar raya itu.

“Buat masa ini lebih 1,000 produk usahawan IKS telah datang memperkenalkan produk masing-masing untuk dipasarkan di Raudhah Grocer.

“Produk mereka hebat-hebat, saya sendiri kagum dengan kebolehan usahawan IKS ini. Mereka ada produk yang baik dan mungkin sebelum ini tiada platform pemasaran yang baik.

“Alhamdulillah dengan adanya Raudhah Grocer di Malakat Mall ini, kita dapat bantu mereka pasarkan produk masing-masing,” katanya ketika ditemui Malakat Tribune di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Farah Hazwani berkata, pihaknya masih membuka peluang sehingga pertengahan Februari ini kepada usahawan IKS yang berminat untuk pasarkan produk di pasar raya tersebut.

“Untuk usahawan IKS, kita masih buka peluang sehingga pertengahan Februari ini. Sebelum ini lebih 1,000 datang, kita terima semua dan mereka perlu ikuti syarat ditetapkan.

“Produk IKS ini ada barang yang kita rasa orang kita tidak boleh buat tetapi mereka ada. Contoh lampin pakai buang dan pelbagai lagi kategori produk seperti barangan cucian,” katanya.

Sementara itu katanya, usahawan IKS yang datang perkenalkan produk juga ada kekangan tertentu untuk pasarkan barangan mereka namun, pihak pengurusan akan bantu hingga berjaya.

“Ada barang IKS tidak miliki sijil halal kerana kekangan tertentu jadi, kita bantu mereka. Kita memberi pelbagai cadangan penambahbaikan pembungkusan yang disertakan pelekat produk Muslim.

“Produk IKS perlu mengikuti syarat-syarat ditetapkan selain mempunyai bekalan dan boleh menghantar produk seperti diminta kerana kita tidak mahu terputus bekalan.

“Bagi pemilik produk IKS yang ingin pasarkan produk, mereka boleh datang berjumpa saya di Malakat Mall dengan membawa produk dan juga profil syarikat,” katanya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here