Malaria: Kes di Gombak terkawal

0
37

CYBERJAYA 22 Dis. – Kes jangkitan demam malaria di Gombak adalah terkawal dan diklasifikasikan sebagai kes malaria bukan tempatan (imported case).

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam satu kenyataan berkata, Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Gombak, Negeri Selangor telah menerima pelaporan kes malaria pada 10 Disember lalu daripada Hospital Sungai Buloh yang melibatkan seorang warga tempatan yang bekerja di sebuah kuari di Kuang, Gombak.

Susulan laporan tersebut, seramai 973 individu telah disaring melalui aktiviti pengesanan yang meliputi 4km dari kediaman mangsa itu.

“Hasil saringan ini, PKD Gombak telah mengesan 9 lagi kes jangkitan malaria menjadikan keseluruhannya 10 kes,” kata Pengarah Kesihatan Selangor, Datuk Dr. Khalid Ibrahim dalam satu kenyataan, hari ini.

Pecahan penghidap adalah 2 warganegara Malaysia, 8 orang warganegara asing iaitu Indonesia seramai 4 orang, Bangladesh 2 orang, dengan Pakistan dan Myanmar masing-masing satu, dengan kesemuanya adalah pekerja di kuari tersebut.

Semua mangsa kini dirawat di Hospital Sungai Buloh dan dalam keadaan stabil.

Hasil awal siasatan menunjukkan punca jangkitan ini adalah dari seorang pekerja warganegara Bangladesh yang baru kembali bekerja di kuari itu setelah melawat negara asalnya.

Sebagai langkah pencegahan dan kawalan, PKD Gombak telah menjalankan semburan racun untuk dinding kediaman di semua lokaliti terlibat dan mengedarkan kelambu berubat bagi mencegah gigitan nyamuk pembawa malaria.

“Penduduk dikawasan ini juga telah diberi pendidikan kesihatan mengenai kaedah pencegahan jangkitan malaria,” kata kenyataan itu lagi. – #MalakatTribune

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here