MYTV umum pertukaran frekuensi siaran digital

0
73

CYBERJAYA 2 Jan. – MYTV Broadcasting Sdn Bhd. (MYTV) akan melaksanakan kerja-kerja penyusunan semula frekuensi siaran digital TV myFreeview bermula 6 Januari sehingga suku pertama tahun ini.

Perubahan frekuensi itu sejajar dengan perancangan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk menyediakan frekuensi menerusi jalur 700 MHz bagi kegunaan perkhidmatan jalur lebar atau 5G.

“Proses ini melibatkan perubahan satu atau dua frekuensi sedia ada dari stesen pemancar yang terlibat.

“Untuk makluman, siaran digital myFreeview dihantar melalui dua frekuensi dari setiap stesen pemancar,” menurut kenyataan MYTV hari ini.

Sebagai permulaan, kerja penyusunan frekuensi secara berperingkat-peringkat itu akan dilakukan pada 6 Januari ini bermula pukul 1 pagi sehingga 6 pagi.

Stesen pemancar yang terlibat adalah Gunung Raya Langkawi yang melibatkan penukaran frekuensi dari 666Mhz dan 698Mhz kepada 666Mhz dan 650Mhz.

Pengguna siaran TV digital myFreeview yang mengalami gangguan siaran selepas kerja-kerja penyusunan frekuensi tersebut perlu melakukan penalaan semula dekoder atau TV Berintegrasi Digital (IDTV) bagi mendapatkan frekuensi yang baharu.

Semakan senarai frekuensi yang baharu boleh dilakukan di laman sesawang https://www.mytvbroadcasting.my/pdf/Lists-of-frequency.pdf.

Bantuan dan maklumat lanjut boleh diperolehi di talian pusat khidmat pelanggan MYTV di talian 1800-18-1088. – MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here