Seorang lagi pelancong China dijangkiti coronavirus

0
301

CYBERJAYA – Seorang lagi pelancong China yang tiba di negara ini baru-baru ini disahkan dijangkiti penyakit coronavirus sekali gus menjadikan setakat ini empat kes jangkitan wabak itu dilaporkan di Malaysia.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah, pesakit baharu ini tidak mempunyai sebarang kaitan dengan tiga kes positif yang telah dilaporkan pada awal hari ini.

Pemeriksaan kesihatan dijalankan di pintu masuk utama negara

“Kes terbaharu ini merupakan seorang lelaki berumur 40 tahun yang berasal dari Wuhan, China. Kes tiba di Johor Bahru pada Rabu lalu dengan menaiki bas dari Singapura. 

“Kes datang bersama sekumpulan pelancong warga China seramai 17 orang kesemuanya, yang turut terdiri daripada isteri dan seorang anaknya. Kes mula mengalami gejala demam pada Khamis lalu dan keesokan harinya dia telah pergi mendapatkan rawatan di salah sebuah hospital swasta berhampiran,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, katanya, pesakit berkenaan seterusnya telah dirujuk oleh pihak hospital swasta untuk menerima rawatan lanjut di bawah jagaan Pasukan Perubatan Penyakit Berjangkit Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru. 

Seorang pesakit coronavirus dibawa ke sebuah hospital di China baru-baru ini

Katanya, ujian pengesanan dan pengesahan bagi kes ini telah dihantar ke Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) dan pada petang semalam pihak Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan telah menerima pelaporan bahawa sampel pesakit terbabit didapati positif coronavirus.

“Pada ketika ini kes masih demam dan batuk, namun dia berada dalam keadaan stabil,” katanya.

Sementara itu, katanya, pihak Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Johor telah bertindak segera dengan mengesan kesemua 17 kontak daripada kumpulan pelancongan yang sama yang disertai oleh kes dan melakukan saringan kesihatan bagi memeriksa status kesihatan mereka. 

Ujarnya, hasil saringan mendapati mereka tidak demam dan tidak mempunyai sebarang gejala jangkitan. 

“Sampel klinikal seterusnya telah diambil dalam kalangan kontak tersebut untuk menjalani ujian pengesanan dan pengesahan coronavirus di MKAK Sungai Buloh. 

“Kesemua kontak tersebut seterusnya telah diletakkan di bawah Perintah Pemantauan dan Pengasingan di tempat yang disediakan sementara menunggu keputusan ujian yang dijalankan ke atas mereka,” ujarnya. – MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here