Doktor China gunakan terapi plasma rawat pesakit Covid-19

0
45

CYBERJAYA – Para doktor di Shanghai, China dilaporkan menggunakan rawatan terapi plasma bagi merawat pesakit yang dijangkiti Covid-19.

Menurut Reuters, plasma yang digunakan dalam rawatan itu didermakan oleh para pesakit yang sudah pulih sebelum ini, dan keputusannya ‘amat menggalakkan’.

Kata Pengarah Pusat Klinikal Kesihatan Awam Shanghai, Lu Hongzhou, pihaknya telah menyiapkan sebuah pusat rawatan terapi plasma dan sedang memilih bekas pesakit yang yang ingin menderma.

Darah yang didermakan akan disaring bagi mengesan sebarang jangkitan lain seperti hepatitis B atau C, sebelum menjalani proses emparan bagi mendapatkan plasma, katanya lagi.

“Kami amat positif rawatan ini efektif bagi merawat para pesakit,” katanya.

Sementara itu, menurut seorang pakar Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), rawatan terapi plasma daripada pesakit yang sudah pulih, merupakan satu cara rawatan ‘berkesan’ yang perlu dicuba, namun memerlukan masa yang tepat bagi membantu memulihkan sistem imunisasi si pesakit.

“Rawatan ini terbukti berkesan dalam merawat penyakit berjangkit seperti anjing gila dan difteria,” kata Pengarah Program Kecemasan Kesihatan WHO, Dr. Mike Ryan.

“Ini kerana globulin hiperimun penderma yang terdiri daripada pesakit yang sudah pulih akan mempunyai bilangan antibodi yang banyak.

“Rawatan ini, secara dasarnya, membantu memulihkan sistem imunisasi si pesakit yang menerima rawatan dengan menambah bilangan antibodi,” kata Ryan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here