Jangan pandang sebelah mata produk BMF

0
1014

JENAMA Mismis, Momy Gold, Aisyah Sleepy, Do’zee, MyCoklat, Inas, BioCafe, Crunchy Granola dan susu Irfan mungkin bunyi agak asing dalam kalangan pengguna.

Antara produk BMF yang jarang dilihat di pasaran tetapi bakal dijual di Malakat Mall nanti

Tetapi jangan terkejut, inilah antara sebahagian barangan keluaran usahawan Muslim atau lebih dikenali sebagai usahawan BMF yang sebelum ini begitu sukar untuk ditemui di pasaran kini mula ‘memunculkan’ diri selepas gelombang kempen membeli barangan BMF atau Buy Muslim First giat dipromosikan di seluruh negara.

Sebelum gelombang yang tidak disangka-sangka ini bermula, pengguna terutama dalam kalangan keluarga Muslim terpaksa membeli barangan buatan bukan bumiputera terutama yang diimport dari luar negara tanpa mempunyai pilihan lain.

Lebih menyedihkan sehingga barangan makanan dan minuman yang dibeli setiap hari juga terpaksa bergantung dengan produk keluaran bukan Muslim tanpa mereka sedari terdapat produk setara, setanding dan seumpama itu yang dikeluarkan oleh pengusaha Muslim di pasaran.

Produk keluaran BMF juga setanding dengan produk bukan BMF lain dari semua segi termasuk dalam aspek pembungkusan

Walhal, jika diikutkan pengguna dan pembeli Muslim merupakan majoriti di negara ini dan mempunyai kuasa membeli yang sangat tinggi tetapi apabila membicarakan produk keluaran pengusaha Muslim masing-masing terpinga-pinga dan tertanya-tanya, adakah barangan seharian keluaran usahawan bumiputera di kedai-kedai runcit?

Adakah ubat gigi dan berus gigi dikeluarkan orang Melayu? Adakah sabun basuh dan mandi dikeluarkan pengusaha Muslim? Adakah lampin atau tuala wanita dikilangkan oleh usahawan bumiputera? Jawapannya, ada!

Tetapi kenapa sukar ditemui di pasaran? Jawapannya mudah, produk-produk keluaran Muslim ini sebelum ini sangat sukar untuk menembusi pasar raya-pasar raya besar dan hanya dipasarkan di kedai-kedai runcit kecil atau secara dalam talian.

Jenama tuala wanita, lampin pakai buang kanak-kanak dan sabun basuh keluaran BMF yang sukar ditemui di pasaran

Dalam erti kata lain, produk-produk ini tidak diberikan tempat atau ruang untuk masuk ke dalam pasar raya walaupun mempunyai kualiti yang setanding produk import.

Sebagai contoh produk tuala wanita, selama ini kaum hawa hanya membeli tuala wanita yang diimport atau dikilangkan oleh pengusaha bukan BMF, tanpa mereka menyedari sebenarnya dipasaran sudah ada jenama tuala wanita BMF yang setanding dengan produk import. Jenama tuala wanita, Aisyah Sleepy misalnya merupakan tuala wanita keluaran Muslim pertama diperkenalkan di Malaysia dengan kombinasi bamboo dan cotton fiber.

Tidak kurang hebatnya, untuk produk pencuci terdapat jenama Do’Zee dan untuk barangan kesihatan oral pula terdapat jenama ubat gigi Mismis yang mana semuanya dikeluarkan oleh pengusaha BMF.

Syukurlah, dengan gelombang BMF kemudiannya disambut dengan pembukaan pusat beli belah pertama BMF, Malakat Mall akhirnya produk-produk berkualiti ini yang ‘tersorok’ di sebalik jenama bukan BMF akhirnya mendapat nafas baharu.

Pengguna Muslim yang sebelum ini selalu mengeluh kerana kesukaran untuk mendapatkan produk-produk keluaran Muslim kini boleh tersenyum lebar kerana terdapat satu hab yang memasar dan menjual segala jenis barangan keluaran BMF tanpa perlu ragu-ragu lagi tahap halal dan kebersihannya.

Cuma yang penting sekarang ialah sokongan daripada pengguna dan pembeli itu sendiri, jika semua bersatu hati dan saling sokong menyokong tidak mustahil dalam tempoh beberapa tahun lagi ekonomi Muslim dapat dikukuhkan dan umat Islam dapat menguasai semula ekonomi negara yang sebelum ini ketinggalan sangat-sangat jauh.-MT

Malakat Mall

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here