[VIDEO]Joran kustom janji lebih kepuasan

0
399
Asriq Fahmi Ahmad membaiki kelengkapan memancing di bengkel kustom joran miliknya di Puchong Prima, Selangor.

BAGI kebanyakan kaki pancing, kepuasan hobi itu bukan sahaja tercapai ketika menarik sentapan ikan pada joran tetapi memiliki peralatan yang lengkap adalah sebahagian daripadanya.

Ada yang sanggup berbelanja beribu-ribu ringgit untuk memiliki set dan aksesori yang diidamkan. Tidak cukup dengan produk import dan edisi terhad, ada yang menyempurnakan lagi peralatan dengan tempahan khas.

Bagi memenuhi permintaan dalam segmen yang semakin mendapat sambutan itu, pemancing tegar, Asriq Fahmi Ahmad, memulakan perkhidmatan pengubahsuaian batang joran atau lebih popular dipanggil kustom rode.

Bermula dengan kemahiran untuk keperluan sendiri, bekas wartawan Sains dan Teknologi di akhbar Utusan Malaysia itu mula berkecimpung dalam kemahiran kustom joran kira-kira empat tahun lalu di bengkel mini di kediamannya.

Asriq berkata, selepas majikan menamatkan perkhidmatan syarikat hujung tahun lalu, beliau memilih untuk menjadikan minatnya itu sebagai kerja sepenuh masa. Keyakinan untuk melangkah ke bidang perniagaan selepas hampir 10 tahun dalam dunia kewartawanan datang daripada minat yang mendalam di samping sokongan rakan-rakan sehobi.

Bercerita mengenai servis yang ditawarkan, anak kelahiran Lenggong, Perak itu berkata, selain kepuasan memburu ikan bersama rakan-rakan, pemancing tegar biasanya mempunyai hubungan yang akrab dengan peralatan memancingnya.

“Yang paling disayang mestilah joran yang sedap dipakai. Tapi nak dapat yang betul-betul sesuai dengan kita, itu memerlukan sedikit pengubahsuaian.

“Kita boleh beli peralatan terbaik dengan harga beribu-ribu tetapi produk dari kilang itu belum tentu ‘kena’ dengan keselesaan kita,” katanya ketika ditemui di Angler Workshop di Puchong Prima baru-baru ini.

Bagi menyempurnakan lagi peralatan khususnya joran, beliau menawarkan servis pengubahsuaian joran, membaiki, penyelenggaraan dan penambahan aksesori kepada kaki-kaki pancing melalui perkhidmatan walk in dan juga melalui pos.

“Selain lebih selesa, joran tempahan khas ini dapat menepati citarasa, kesesuaian mengikut bentuk badan dan reka bentuk yang dimahukan.

“Di bengkel ini, pelanggan juga boleh mendapatkan pelbagai jenis aksesori dan alat ganti selain kelengkapan seperti pakaian memancing,” katanya.

Salah satu perkara penting yang perlu dilakukan oleh kaki pancing adalah memastikan kedudukan titik imbangan batang joran kena pada kedudukan keseluruhan peralatan memancing (joran).

“Dengan mengenal pasti kedudukan ‘tulang belakang’ pada batang joran juga kita dapat perhalusi dan maksimumkan keselesaan penggunaan joran,” katanya.

Selepas kira-kira empat bulan beroperasi dan mendapat sambutan yang baik khususnya di sekitar Puchong, Kinrara, Putrajaya, Bandar Saujana Putra dan Subang Jaya, beliau bercadang memperkenalkan pakej memancing kepada kaki-kaki pancing.

“Pakej memancing selama beberapa hari seperti ke hutan Royal Belum dan lokasi-lokasi terpencil lain akan disertakan dengan khidmat jurupandu,” katanya.

Maklumat lanjut mengenai perkhidmatan Angler Workshop boleh diperolehi dari laman facebook https://www.facebook.com/anglerworkshop/ atau hubungi nombor telefon 017-385 0277.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here