Peluang sertai usahawan rawatan spa bergerak

0
107

RAUDHAH CITY – Safah Herbs Beauty Recipe merancang mewujudkan 10,000 usahawan bergerak yang menjalankan perkhidmatan rawatan spa tradisi Melayu bagi membolehkan lebih ramai pelanggan menikmatinya di rumah.

Pemilik Safah Herbs, Fauziah Mohd. Fuad berkata,
rawatan spa itu sentiasa dicari pelanggan khususnya golongan wanita Muslim dan perkenalan usahawan spa bergerak ini mampu memenuhi permintaan mereka.

“Saya telah berbincang dengan Coach Fadzil (Pengasas Malakat Mall, Mohd. Fadzil Hashim) dan mempunyai perancangan mahu membina usahawan rawatan spa tradisi Melayu.

“Tumpuan utama adalah membangunkan pusat rawatan spa itu dahulu sebelum dikembangkan kepada perkhidmatan bergerak yang akan mewujudkan golongan usahawan berkenaan,” katanya ketika ditemui di sini.

Tambah Fauziah, untuk mencapai sasaran itu, pihaknya mempunyai pelbagai projek yang perlu dirangka sebelum merealisasikannya.

“Saya tidak mampu untuk membuka 10,000 usahawan spa bergerak ini tetapi akan mewujudkan kumpulan-kumpulan tertentu untuk membantu memberi peluang kepada usahawan terlibat menyertainya.

“Kumpulan ini akan bawa matlamat kita untuk bangunkannya dalam bentuk perkhidmatan bergerak. Ini kerana banyak perniagaan rawatan spa telah menjalankan perkhidmatan seumpama itu,” ujarnya.

Menurutnya, sasaran rawatan spa tersebut tidak khusus kepada wanita Melayu sahaja tetapi turut melibatkan kaum-kaum lain.

“Perkhidmatan itu nanti turut ditawarkan kepada kaum lain seperti Cina dan India. Ini kerana mereka telah melihat keberkesanan rawatan spa tradisi Melayu,” ujarnya.

Menurutnya, Safah Herb mempunyai usahawan perintis dalam perniagaan itu dan akan mewujudkan lebih ramai lagi golongan tersebut menerusi program bersama Koperasi Pembangunan Pengguna Islam Malaysia (KoPPIM).

“Dengan adanya projek ini bersama Coach Fadzil kita harap langkah ini dapat diperluaskan dan mencipta usahawan-usahawan baharu kerana sasaran kita dan Coach Fadzil adalah membantu usahawan,” katanya. – MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here