SC longgarkan pengawalseliaan Skim Persaraan Swasta

0
46

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) memberikan kelonggaran kepada Skim Persaraan Swasta (PRS) untuk memacu daya saing industri.

Langkah itu akan memberikan lebih kelonggaran dalam peruntukan aset untuk dana PRS seperti membenarkan dana konservatif dilabur dalam pasaran asing dan dana dagangan bursa berdasarkan emas fizikal untuk meningkatkan kepelbagaian aset dalam pelaburan alternatif.

Dalam kenyataan hari ini, SC berkata, penyedia PRS kini perlu memindahkan pelaburan ahlinya secara beransur-ansur kepada dana kurang berisiko mengikut umur, bersesuaian dengan kadar toleransi risiko mereka.

“Ini akan membantu mengurangkan pendedahan risiko pasaran bagi ahli yang memilih dana tersedia atau ‘default fund’ (pertumbuhan, sederhana dan konservatif) yang sesuai dengan usia mereka,” katanya dipetik Bernama hari ini.

Berikutan pengumuman Belanjawan 2020, ahli PRS kini boleh membuat pengeluaran pra-persaraan tanpa dikenakan penalti cukai untuk tujuan penjagaan kesihatan dan perumahan.

“Ahli-ahli dibenarkan membuat pengeluaran untuk diri sendiri atau ahli keluarga terdekat yang meliputi 91 jenis penyakit dan pembiayaian peralatan perubatan atau ubat-ubatan untuk penyakit-penyakit yang diluluskan.

“Pengeluaran untuk perumahan merangkumi pembiayaan atau pembelian harta kediaman, atau pengurangan pinjaman perumahan.

PRS yang ditubuhkan oleh SC pada 2012 merupakan skim simpanan caruman jangka panjang dan pelaburan sukarela untuk membantu orang ramai menabung untuk persaraan mereka.

Ketika ini terdapat lapan penyedia PRS yang memberi perkhidmatan kepada lebih 455,000 ahli di seluruh negara.

Sehingga akhir 2019, jumlah keseluruhan industri ini adalah sebanyak RM3.5 bilion.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here