Tembikai beri pulangan lumayan setiap tahun

0
153

CYBERJAYA- Pengorbanan seorang pemuda tidak menyambung pelajaran kerana meneruskan legasi keluarganya mengusahakan tanaman tembikai nyata berbaloi apabila mampu meraih pendapat enam angka pada setiap tahun.

Mohd. Fakrul Azwan Sabri, 35, dari Kampung Pengkalan Berangan di Marang, Terengganu, berkata dia mengusahakan tanaman tembikai di Kampung Serating sejak berumur 18 tahun.

“Selepas tamat tingkatan lima, saya terus membabitkan diri dengan aktiviti pertanian itu.

“Menanam tembikai ini diusahakan oleh datuk pada awal 90 an sebelum bapa saya ambil alih dan sekarang saya yang bertanggungjawab sepenuh ke atas ladang tembikai seluas 40 hektar itu,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian hari ini.

Terdahulu, Mohd. Fakrul menghadiri Majlis Menandatangani Perjanjian Jual Beli Ladang Kontrak MOA dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) di Kampung Serating.

Turut hadir pada majlis itu Pengarah FAMA Negeri, Fauzi Mohamed dan Pegawai Kontrak Pemasaran FAMA, Hazimin Sulong.

Menurut Mohd. Fakrul, dia menanam tembikai itu sejak Disember tahun lalu dan mula menuai hasil sejak awal Februari.

“Sekarang berlaku isu lambakan tembikai di seluruh negara seterusnya menyebabkan harga tembikai turun.

“Harga jualan di ladang sekarang sekitar 50 sen sekilogram berbanding harga tertinggi yang pernah saya jual iaitu RM2.10 sekilogram.

“Bagaimanapun penanam tembikai seperti saya bernasib baik kerana melalui perjanjian jual beli dengan FAMA, petani dapat mengelak daripada mengalami kerugian,” katanya.

Tambahnya, perjanjian yang dibuat dengan FAMA memberi jaminan kepada petani untuk memasarkan tembikai selain mengurangkan masalah lambakan buah di pasaran.

“Modal kami 60 sen sekilogram dan FAMA membeli tembikai dengan harga 80 sen sekilogram. Jadi masih ada keuntungan.

“Saya berharap perjanjian jual beli dengan FAMA dapat diteruskan pada setiap tahun bagi membantu petani tembikai di negeri ini.

“Melalui perjanjian ini juga, saya dan rakan petani lain tidak berasa bimbang lagi dengan harga pasaran tembikai yang tidak menentu, ” katanya.

Sementara itu Fauzi berkata, sebanyak tujuh pengusaha ladang tembikai di Kampung Serating menandatangani perjanjian jual beli dengan FAMA membabitkan pembelian tembikai sebanyak 50 hingga 70 tan semusim.

“Perjanjian jual beli dengan FAMA itu secara tidak langsung membantu petani memasarkan hasil mereka dengan harga yang berpatutan.

“Walaupan harga pasaran menjunam sehingga kurang 50 sen sekilogram, FAMA tetap akan menawarkan harga pembelian 80 sen sekilogram kepada petani,” katanya.

Menurutnya, lambakan tembikai berlaku di negara Terengganu termasuk di Kelantan sekali gus menyebabkan harga tembikai jatuh.

“Bagaimanapun lambakan tembikai di negeri ini tidak terlalu serius cuma kemasukan tembikai dari Kelantan menyebabkan harga tembikai turun,” katanya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here