Terbelakah nasib pelajar di pusat tahfiz?

0
94

INSTITUSI pengajian agama dan hafazan Al-Quran kini menjadi antara pilihan ibu bapa selain tumpuan pada aliran akademik.

Ada yang memilih menghantar anak di sekitar kawasan tempat tinggal dan ada yang sanggup menghantar anak ke pusat-pusat tahfiz merentasi sempadan negeri.

Namun sejak kebelakangan ini, kewujudan pusat tahfiz di negara ini terpalit dengan pelbagai isu seperti pentadbiran, keselamatan dan kualiti pembelajaran yang ditawarkan.

Pendek kata, apabila memperkatakan isu pusat tahfiz, ada sahaja perkara yang tidak sedap didengar seolah-olah tiada usaha dan langkah untuk memperbetulkannya.

Antara yang membimbangkan malah agak menghairankan adalah kenapa begitu kerap kejadian kebakaran berlaku di asrama-asrama tahfiz. Seolah-olah mereka masih lagi bermalam menggunakan pelita dan lilin. Pada tahun lalu sahaja dilaporkan lebih daripada 200 kes kebakaran melibatkan pusat tahfiz di seluruh negara.

Kerisauan itu membawa kita kepada insiden kebakaran sekolah Darul Quran Ittifaqiyah, Keramat pada September 2017 yang mengorbankan lebih 20 pelajar. Walaupun berpunca daripada perbuatan khianat, ia sedikit sebanyak mencetuskan kebimbangan pada aspek keselamatan pelajar.

Yang pasti titik hitam itu tetap mengajar kita banyak perkara bahkan mencetuskan pelbagai reaksi dan pendapat orang ramai terhadap tahap keselamatan anak-anak di pusat tahfiz.

Baru-baru ini, tular lagi kisah kedaifan sebuah pusat tahfiz di sebuah negeri di Pantai Timur yang menimbulkan kegusaran dan rasa marah warga maya terhadap kelemahan pengurusan tahfiz berkenaan.

Tidak kurang juga yang memberikan komen memihak dan ‘membenarkan’ kedaifan yang dilalui para pelajar di situ kononnya sebagai cabaran untuk pelajar belajar menjadi lebih berdikari.

Pada saya itu agak tidak masuk akal. Seumpama kita sengaja memilih untuk hidup dalam kedaifan sedangkan untuk belajar dengan baik kita perlukan tempat yang selesa dan kesulitan seperti itu wajar diselesaikan oleh pentadbiran sekolah.

Hujah dangkal seperti itu mungkin masuk akal jika anak-anak tahfiz berkenaan sekadar dihantar ke kem motivasi selama 3 atau 4 hari. Tetapi tidak jika itu adalah sekolah yang menjadi ‘rumah’ tempat mereka membesar. Dan ada di antara mereka yang dihantar seawal usia 4 dan 5 tahun. 

Hakikatnya, kewujudan pusat-pusat tahfiz yang bercambah sekarang ini sebahagiannya diseleweng dan diambil kesempatan oleh segelintir pihak yang melihat keuntungan dalam perdagangan agama.

Bukan susah mana pun, dengan hanya berbekalkan modal ‘derma tabung sekolah tahfiz’ ada yang dapat mengaut sehingga ratusan ribu ringgit. Peruntukan seperti itu jika tidak direkod secara betul sudah pasti mengaburi mata dan membuka ruang kepada penyelewengan.

Lebih menyedihkan juga, ada antara pusat-pusat tahfiz yang sengaja dibiarkan daif oleh pihak pengurusan untuk terus menagih belas ehsan daripada orang ramai.

Penulis bukan terlalu negatif dalam isu ini tetapi langkah serta pertimbangan yang wajar perlu dilakukan sama ada di peringkat kerajaan pusat atau negeri kerana anak-anak yang masih mentah itu tidak harus menjadi mangsa dalam isu ini.

Usaha itu tidak semestinya memerlukan pelaksanaan undang-undang yang terlalu ketat tetapi pemantauan daripada agensi yang berkaitan perlu dilaksanakan. Tanpa pemantauan, sesiapa sahaja boleh mengaburi mata ibu bapa untuk membuka pusat pengajian seumpama itu.

Mungkin tidak perlu dicampuri urusan silibus pengajian mereka tetapi cukup sekadar memastikan aspek pematuhan asas seperti keselamatan dan penyediaan kemudahan diwajibkan. -MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here