Wisma Putra bertemu Walid, isu dana Masjid al-Aqsa, Palestin

0
87

CYBERJAYA –  Duta Besar Palestin ke Malaysia, Walid Abu Ali menjelaskan, beliau tidak dapat membuktikan sama ada kutipan derma untuk Masjid al-Aqsa dan Palestin telah dibuat khusus untuk disalurkan kepada Jabatan Wakaf Masjid al-Aqsa yang diuruskan oleh kerajaan Jordan.

Perkara itu disampaikan dalam pertemuan antara Wisma Putra dengan Duta Besar Palestin itu mengenai isu sumbangan untuk Masjid al-Aqsa dan Palestin yang didakwa tidak sampai kepada pihak pengurusan di negara itu.

Memetik portal Ismaweb.net, kementerian luar dalam kenyataan di sini berkata, kenyataan Walid dibuat berdasarkan rekod dari pihak pengurusan Masjid al-Aqsa sejak 2018

“Dalam konteks ini, kementerian ini juga mengambil maklum kenyataan gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menyatakan antara lain, dana kutipan dari rakyat Malaysia dan bantuan kepada rakyat Palestin disalurkan terus melalui rakan-rakan NGO masing-masing di Palestin.

“Sumbangan ini turut melibatkan bantuan kepada penduduk Palestin di sekitar Masjid al-Aqsa terutama pada bulan Ramadan,” katanya hari ini.

Sebelum ini, Walid mendedahkan dana yang disumbang rakyat Malaysia melalui NGO tempatan tidak diterima Jabatan Wakaf Baitulmaqdis sejak dua tahun lalu.

Beliau berkata, keadaan itu dikesan selepas pihaknya menerima maklumat tidak ada penyaluran sumbangan dari rakyat Malaysia untuk Masjid al-Aqsa, meskipun banyak pihak mengutip dana.

Memandang serius isu yang dibangkitkan, Kementerian Luar berkata, pihaknya juga mengambil maklum mengenai kenyataan bersama yang dikeluarkan di bawah nama beberapa NGO, semalam.

Katanya, kementerian menyokong dan menghargai usaha murni yang telah dilaksanakan oleh NGO di Malaysia dalam menyalurkan pelbagai bentuk bantuan kepada rakyat Palestin yang merangkumi kewangan, makanan, perubatan, pendidikan dan lain-lain.

“Sememangnya kementerian ini mempunyai hubungan baik dengan beberapa NGO dan sentiasa memudah cara serta membantu usaha mereka menyalurkan bantuan kepada Palestin.

“Kementerian ini juga menggalakkan NGO-NGO yang lain untuk turut mendapatkan kerjasama kementerian ini bagi melestarikan bantuan dari Malaysia untuk rakyat Palestin,” katanya.

Kementerian itu berkata, kerajaan dan rakyat Malaysia menyokong kuat perjuangan Palestin untuk mendapatkan kebebasan serta mencapai kemerdekaan.

“Malaysia akan terus menyalurkan bantuan kemanusiaan bagi mengurangkan penderitaan rakyat Palestin yang masih dijajah dan ditindas oleh rejim Israel di wilayah-wilayah Palestin di Tebing Barat termasuk Baitulmaqdis, dan juga Semenanjung Gaza,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here