Air tangan Permaisuri Agong jamu petugas perubatan

0
42

Oleh SITI KHAIRULNISAH MOHAMMED BAJURI

CYBERJAYA – Keprihatinan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah terhadap rakyat sememangnya tidak boleh dinafikan, lebih-lebih dalam situasi wabak Covid-19 yang melanda negara ketika ini.

Hari ini, Raja Permaisuri Agong berkenan memasak nasi berlauk hasil air tangan Baginda kepada petugas di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) dan Pusat Perubatan Universiti Malaya (UMMC).

“Kurma telur, kubis masak lemak, ayam masak terutup… hari ini saya hantar ke HUKM (Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia) dan UMMC (Pusat Perubatan Universiti Malaya). Untuk wira tidak didendang. Semoga Allah merahmati anda,” titah Raja Permaisuri Agong menerusi hantaran dalam akaun Instagram Baginda hari ini.

Dalam hantaran itu, menu yang dihasilkan oleh Baginda dibungkus rapi dan diedarkan kepada petugas berkenaan.

Pastinya hantaran itu mencuit perhatian warga maya yang memuji keprihatinan Tuanku Azizah terhadap petugas perubatan, yang telah banyak berkorban masa dan tenaga bagi merawat pesakit Covid-19.

Antara komen warga maya Smisrh yang menulis, Alhamdulliah. Terima kasih untuk keprihatinan tuanku terhadap frontliner (barisan hadapan).

Sementara itu, pemilik akaun roseeta 6518berkata, raja berjiwa rakyat. Hanya Allah akan membalas setiap perbuatan baik Baginda.

Dalam nada sama, pemilik akaun Instagram Rosbaiduri_Ramly mendoakan semoga Allah merahmati Tuanku. – MBNews

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here