Barisan Kabinet berintegriti, peduli rakyat

0
90

CYBERJAYA – Senarai Kabinet baharu yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini akan memberi tumpuan kepada penyampaian perkhidmatan lebih berfokus dan berkesan; cekap; peduli rakyat; telus dan berintegriti dengan struktur lebih mantap. 

Perdana Menteri berkata, barisan Kabinet itu dianggotai oleh tokoh politik berpengalaman, teknokrat dan individu yang mempunyai kepakaran dalam bidang-bidang tertentu. 

Tambah beliau, dalam memastikan Kabinet yang terbentuk itu adalah berintegriti, semua anggota Kabinet telah melepasi tapisan oleh pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia  (PDRM).

“Saya juga akan memastikan Kabinet saya adalah sebuah Kabinet yang berfungsi serta dapat menyampaikan perkhidmatan yang lebih berfokus,” katanya dalam sidang akhbar khas di Jabatan Perdana Menteri hari ini. 

Muhyiddin menambah, ekonomi global masa kini berada dalam situasi tidak menentu selain perang perdagangan dan percaturan politik melibatkan kuasa-kuasa besar terus mewarnai lanskap sejagat. 

Beliau berkata, dunia juga terkesan dengan wabak Covid-19 yang impaknya turut dirasai negara ini.

Perdana Menteri berkata, beliau sedar bahawa dalam keadaan yang tidak menentu ini, rakyat amat berharap kepada kerajaan untuk membantu mencari jalan penyelesaian terhadap apa jua masalah dihadapi. 

“Adalah menjadi tanggungjawab saya sebagai Perdana Menteri untuk  membentuk sebuah Kabinet yang mampu menyelesaikan permasalahan rakyat dan membawa negara kita ke mercu kejayaan yang lebih gemilang,” katanya. – MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here