Covid-19: Enam kes baharu dikesan hari ini

0
73
Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah

CYBERJAYA – Sebanyak enam kes baharu Covid-19 dilaporkan setakat tengah hari tadi menjadikan jumlah kumulatif positif virus tersebut kini mencecah 99 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah, berkata semua kes baharu itu dikesan melalui kontak rapat bagi kluster kes ke-26.

Katanya, kesemua kes tersebut telah dikesan dan diasingkan untuk rawatan selanjutnya.

“Semua kes ini dikesan ketika aktiviti pengesanan kontak dan dimasukkan ke hospital bagi isolasi serta rawatan lanjut.

“Aktiviti pengesanan kontak rapat masih dijalankan sehingga punca di mana jangkitan ini terjadi dapat dikenal pasti. Pertambahan enam kes baharu ini menjadikan jumlah kumulatif positif Covid-19 di Malaysia ialah 99 kes,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, katanya, daripada jumlah itu, 18 kes dikesan dalam kalangan pesakit bawah pemantauan (PUI), kontak rapat (79) dan dua lagi daripada Misi Bantuan Kemanusiaan.

Katanya, dua kes dilapor memerlukan bantuan pernafasan dan dirawat di unit rawatan rapi dan pada masa sama, kes-kes itu juga diberikan rawatan antiviral.

Dalam pada itu, Dr. Noor Hisham berkata, daripada kes dilaporkan positif dalam gelombang kedua bermula kes ke-23 hingga kes ke-99, hanya lima dilaporkan dalam kalangan PUI dan mempunyai sejarah perjalanan ke luar negara.

“Kes lain pula membabitkan kluster yang terdiri daripada kontak rapat dan mempunyai kaitan antara satu sama lain.

“KKM juga sudah menjalankan survelan Covid-19 bagi mengesan kes sporadik dan kes tempatan di Malaysia melalui pesakit influenza-like-illness (ILI) dan severe acute respiratory infection (SARI) yang tiada kaitan dengan sejarah perjalanan ke negara terjejas atau kontak dengan kes positif Covid-19,” katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan sama, beliau turut memaklumkan individu bagi kes ke-41 sudah pulih sepenuhnya dan dibenarkan keluar daripada wad Hospital Kuala Lumpur.

Jelasnya, ini menjadikan secara keseluruhan sebanyak 24 kes sudah pulih sepenuhnya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here