Covid-19: Wisma Felcra ditutup hingga Jumaat

0
42
Wisma Felcra di ibu negara diarahkan tutup bagi membendung penyakit Covid-19

CYBERJAYA – Felcra Berhad mengesahkan salah seorang Ahli Lembaga Pengarah Syarikat berkenaan telah positif Covid-19.

Kali terakhir Ahli Lembaga Pengarah berkenaan berada di dalam bangunan Wisma Felcra ialah pada 25 Januari lalu.

Bagaimanapun, Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd. Nazrul Izam Mansor berkata, keadaan itu terkawal dan tiada simptom ditemui dalam kalangan staf.

“Pengurusan syarikat sedang dan telah berusaha mengambil langkah-langkah berwaspada dalam memastikan tahap kesihatan dan persekitaran kondusif di Wisma Felcra.

“Semua aktiviti dan operasi ibu pejabat telah dihentikan serta merta bermula hari ini sehingga Jumaat bagi membolehkan kerja pembersihan secara menyeluruh.

“Untuk itu, semua staf di ibu pejabat telah diarahkan bekerja dari rumah dan dinasihatkan untuk tidak keluar daerah supaya mudah dihubungi,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mohd. Nazrul Izam berkata, operasi di peringkat Wilayah dan kawasan diteruskan seperti biasa dan ibu pejabat akan sentiasa berkomunikasi supaya operasi ladang dan kilang tidak terjejas.

“Syarikat juga telah mengenal pasti staf-staf yang mempunyai kontak rapat dengan individu berkenaan dan kesemua mereka kini sedang membuat ujian saringan kesihatan di hospital.

‘Sehingga kini, mereka masih ‘self-quarantine’ sehingga pihak hospital dapat memberi keputusan bagi ujian saringan berkenaan.

“Langkah-langkah pencegahan semasa adalah termasuk melakukan ujian saringan suhu di lobi premis syarikat dan menyedikan ‘hand sanitizer’ kepada staf dan pelawat,” katanya.

Selain itu katanya, selaras dengan perkembangan terkini penularan Covid-19, warga Felcra diminta untuk menghadkan perjalanan ke luar negara terutamanya ke negara-negara terjejas.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here