Majlis akad nikah 20 minit, larangan kenduri kahwin di Selangor

0
40


CYBERJAYA – Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) melarang kenduri bagi majlis perkahwinan di negeri itu susulan Perintah Kawalan Pergerakan yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam.

Dalam kenyataan menerusi hantaran akaun Facebook agensi itu, pihaknya mengeluarkan tatacara pelaksanaan majlis akad nikah di Selangor bermula 18 Mac sehingga 17 April ini.

Tambah kenyataan itu, majlis akad nikah perlu dijalankan di premis persendirian dan dilarang sama sekali melangsungkan akad nikah di tempat awam seperti masjid, surau atau seumpamanya.

“Majlis tersebut hanya perlu dihadiri seorang pendaftar atau penolong pendaftar perkahwinan pengantin lelaki, pengantin perempuan, satu wali, dua saksi dan masing-masing dua wakil pengantin lelaki serta perempuan.

“Perjalanan akad nikah tidak melebihi 20 minit, termasuk khutbah nikah. Akad nikah dilangsungkan tanpa berjabat tangan antara pengantin lelaki dengan wali atau pendaftar atau penolong pendaftar perkahwinan,” kenyataan itu.

Tambah kenyataan itu, majlis tersebut hendaklah dibatalkan jika sekiranya mana-mana pihak diatas telah disahkan atau disyaki positif Covid-19.

“Langkah-langkah keselamatan yang disarankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia hendaklah dipatuhi, termasuk berkaitan penyediaan cecair pencuci tangan, penutup muka dan jarak selamat antara individu,” kata kenyatan itu. – MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here