‘Menjunjung kasih tuanku’

0
76

CYBERJAYA – Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah menjunjung kasih kepada Raja Permaisuri Agong, Tuanku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah kerana mengurniakan makanan kepada petugas barisan hadapan yang berkorban membendung wabak Covid-19. 

Beliau berkata, kurniaan makanan tengah hari itu diberikan kepada petugas Hospital Sungai Buloh yang sedang berjuang mendepani wabak virus itu.

“Warga Hospital Sungai Buloh dan Kementerian Kesihatan (KKM) menjunjung kasih mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Raja Permaisuri Agong di atas sumbangan tersebut.

“Sesungguhnya ia pencetus dorongan semangat yang lebih jitu buat petugas kesihatan agar terus berjuang dalam usaha menyelamatkan negara,” katanya menerusi hantaran dalam akaun Facebook milik beliau.

Beliau juga meminta orang ramai supaya terus tinggal dalam rumah bagi mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan yang dilaksanakan ketika ini.

“Bantulah kami duduk di rumah, biar kami bekerja untuk anda,” katanya.

Terdahulu, Raja Permaisuri Agong menerusi akaun Instagram milik baginda menyiarkan gambar masakan daripada air tangan baginda untuk diserahkan kepada petugas barisan hadapan yang berjuang membendung wabak Covid-19.

“Hari ini saya masak untuk doktor-doktor, nurse (jururawat) dan petugas di Hospital Sungai Buloh, semoga Allah SWT merahmati dan melindungi mereka yang bertugas untuk negaraku Malaysia,” kongsi baginda.- MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here