Roti canai terbang ‘Melayu’ di Malakat Mall

0
530

CYBERJAYA- Tidak perlu berpusing-pusing untuk mencari roti canai ‘air tangan’ anak Melayu di Cyberjaya, anda hanya perlu terus ke Malakat Mall di sini untuk merasai kelainannya.

Mesti ramai yang tertanya apa kelainannya, apa bezanya dengan roti canai yang dijual di kedai lain terutamanya di kedai mamak?, jawapannya ada Restoran Teh Tarik Corner (TTC).

Restoran berkenaan akan beroperasi di sebuah kedai di pusat beli belah BMF pertama iaitu Malakat Mall dan ia di miliki oleh cef terkemuka, Zainal Abidin Yahya atau ‘Cef Zack’.

Cef Zack berkata, TTC menampilkan kelainan dengan menyediakan roti canai terbang dan teh tarik ‘roller coster’ selain nasi kandar asli Pulau Pinang yang menggunakan resipi istimewa.

Berpengalaman lebih 30 tahun dalam dunia masakan, Cef Zack berkata, beliau mengambil peluang untuk membuka restoran TTC selepas mendapat tawaran daripada pihak Malakat Mall.

“Restoran TTC secara rasminya akan dibuka di Malakat Mall pada hujung bulan ini, sedikit lewat berbanding pembukaan pusat beli belah berkenaan bagi memberi laluan proses ubah suai.

“Restoran ini konsepnya sama dengan kedai mamak, kami beroperasi selama 24 jam. Terdapat pelbagai jenis roti canai, minuman dan juga nasi kandar asli Pulau Pinang resipi saya.

“Apa yang istimewanya ialah kita ada roti canai terbang, setiap hari minggu kita juga ada pertunjukan pentas roti canai terbang,” katanya ketika ditemui Malakat Tribune hari ini.

Selain itu katanya, restoran TTC mempunyai 24 pekerja dengan tiga orang dikhaskan sebagai penebar roti canai yang memiliki pengalaman menebar lebih tiga tahun.

“Harga kami amat berpatutan, bermula RM1.50 hingga RM15. Harga juga bergantung kepada permintaan pelanggan. Kami akan memberikan perkhidmatan terbaik untuk pelanggan.

“Untuk roti canai kita ada pelbagai pilihan iaitu roti kosong, roti telur, roti tisu, roti bawang, roti sardin dan banyak lagi. Kita juga ada aneka murtabak seperti murtabak Singapura,” katanya.

Berkongsi pengalamannya dalam dunia masakan, Cef Zack berkata, beliau sudah ‘masak’ dalam bidang kulinari selama lebih 30 tahun dan telah merantau ke pelbagai negara.

“Dalam dunia masakan ini, saya telah merantau ke pelbagai negara. Antaranya Brunei, Singapura dan India. Negara terakhir yang saya tawarkan perkhidmatan ialah di China.

“Saya di China selama lima tahun untuk pertunjukan masakan tradisional selain mengajar tukang masak muda di negara berkenaan tentang masakan tradisional Malaysia,” katanya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here