Solat Jumaat dalam Malakat Mall

0
304

RAUDHAH CITY – Para pengunjung dan pekerja Malakat Mall beragama Islam tidak perlu bimbang mencari masjid berdekatan apabila pusat beli belah itu menganjurkan solat Jumaat bagi membolehkan mereka menjalani ibadah dengan lancar.

Perkara itu mungkin pertama di negara ini apabila solat Jumaat diadakan dalam pusat beli belah yang jarang dilakukan oleh mana-mana pengurusan pusat beli belah di negara ini.

Pengasas Malakat Mall, Mohd. Fadzil Hashim berkata, pihaknya menganjurkan solat tersebut di bahagian ruang legar kerana kesemua pekerja terdiri daripada mereka beragama Islam.

Menurut beliau, berdasarkan perbualan bersama warga kerja Malakat Mall, mereka mengakui ketika bekerja di syarikat lain sukar menunaikan solat Jumaat kerana komitmen tugas sehingga tidak konsisten melakukan ibadah itu.

“Sekiranya mereka terpaksa pergi ke masjid berdekatan mengikut kiraan kami akan mengakibatkan operasi terhenti lebih dua jam.

“Staf Malakat Mall mempunyai 120 lelaki dan kesemuanya adalah Muslim. Kita sudah menghantar permohonan (kepada Jabatan Agama Islam Selangor) dan harap tiada masalah.

“Kita akan ikut garis panduan ditetapkan kerajaan negeri, yang baca (Khutbah Jumaat) tiada agenda politik dan lain-lain,” katanya di sini hari ini.

Dalam pada itu Mohd. Fadzil yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Brainy Bunch menambah, Malakat Mall bukan semata-mata sebuah pusat beli belah tetapi ia lambang perjuangan kebangkitan ekonomi Islam.

Beliau berkata, Malakat Mall menyediakan ruang dan peluang untuk Muslim membina dan mengambil alih semula kuasa ekonomi yang selama ini dipelopori oleh golongan kapitalis.

“Perjuangan kita adalah pengguna pemilik ekonomi dan berbeza dengan sistem ekonomi kapitalis yang kebanyakkan dilakukan atau dimiliki oleh peniaga-peniaga lain.

“Kepada umat Islam datanglah esok, zahirkan sokongan dalam perjuangan ini,” ujarnya. – MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here