Zero Hunger dicadang perluas kawasan berdekatan Malakat Mall

0
76

Oleh NURUL FIRDAUS KHAIRI

RAUHDAH CITY –Program Zero Hunger yang dilancarkan oleh Malakat Mall dengan kerjasama Yayasan
Brainy Bunch bagi membantu golongan memerlukan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) perlu diperluas bagi penduduk golongan B40 di Dengkil dan kawasan sekitarnya.

Cadangan itu dilontarkan oleh warga maya yang melihat program itu perlu diberi tumpuan di lokasi-lokasi tertentu terutama Dengkil yang dapat diberi keutamaan bagi membantu golongan kurang bernasib baik.

Seorang pemilik akaun Facebook, Mayang Sari mencadangkan supaya lokasi seperti Dengkil ditambah dalam sistem mereka.

Menurutnya, kawasan Dengkil merupakan kawasan paling hampir dengan Malakat Mall yang juga ramai penduduk mengalami kesukaran membeli keperluan asas.

“Admin (pentadbir) tambahlah Dengkil. Jiran terdekat Malakat Mall juga. Orang Dengkil pun ramai yang kesusahan,” katanya.

Cadangan itu turut dijawab oleh pentadbir akaun Facebook Malakat Mall dengan memberi maklum balas ‘baik’ kemudiannya dibalas semula oleh Mayang Sari dengan mengucapkan terima kasih.

Katanya lagi, di Dengkil banyak perkampungan Orang Asli.

“Pusat beli belah itu jika mahu diakses melalui Cyberjaya atau Kota Warisan.

“Di Dengkil sendiri hanya ada sebuah pasar rata yang bukan semua barangan dijual dan beberapa kedai Acheh. Ia milik bukan Muslim, boleh buat bancian nanti,” kongsinya.

Kongsi seorang lagi pemilik akaun Facebook dikenali Sharifah Junaidah pula, ramai penduduk Dengkil sebenarnya berbelanja di Malakat Mall.

Hawa Neechan juga memberi pandangan jika pihak Malakat Mall mempunyai masa boleh ke kawasan Dengkil dan Bukit Changgang.

Katanya, banyak kawasan perumahan namun di belakang kawasan perumahan itu terdapat rumah penduduk asal terdiri daripada Melayu, India, Cina dan Orang Asli.

“Bukan semua mampu untuk menyediakan makanan sepanjang PKP ini,” katanya.

Sebelum ini, Pengasas Malakat Mall, Mohd. Fadzil Hashim turut meyeru orang ramai yang lebih berkemampuan untuk turut serta memberi sumbangan dalam menjayakan kempen itu.

Susulan daripada PKP oleh kerajaan bagi membendung penularan virus Covid-19, rakyat khususnya golongan B40 antara terkesan kerana kebanyakkan mereka adalah pekerja bergaji harian atau peniaga kecil-kecilan.

Beliau menganggap mereka akan terputus sumber pendapatan dan tidak mempunyai wang membeli makanan untuk keluarga. -MBNews

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here