31 kes Covid-19 daripada Kluster Petugas Kesihatan di Sabah

0
64

Oleh SITI AZIELAH WAHI

CYBERJAYA – Terdapat sebanyak 31 kes positif Covid-19 dilaporkan daripada kluster petugas kesihatan di Sabah.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, kluster berkenaan terdiri daripada 23 petugas kesihatan dan lapan ahli keluarga atau orang awam.

“Sehingga kini terdapat 31 kes yang telah dikenal pasti dalam kluster ini, termasuk dua kes baharu dilaporkan hari ini dan kesemua kes masih dalam rawatan,” katanya.

Dr. Noor Hisham memaklumkan, kluster itu mula dikesan apabila ujian Covid-19 ke atas salah seorang kakitangan yang melapor diri di Hospital Queen Elizabeth 2 didapati positif.

“Beliau didapati tidak sihat dan mempunyai gejala batuk dan selesema pada hari tersebut. Siasatan dan saringan bagi kontak kakitangan itu telah dijalankan dan didapati beberapa rakan setugas serta ahli keluarga juga didapati positif jangkitan Covid-19,” katanya.

Menurutnya, kluster tersebut melibatkan tiga buah hospital Kementerian Kesihatan (KKM) di Sabah iaitu Hospital Queen Elizabeth 2, Hospital Wanita dan Kanak-kanak, Likas dan Hospital Keningau.

Bagaimanapun katanya, kesemua kes itu kini masih dirawat di wad dalam keadaan stabil dan tiada kes yang mendapat jangkitan ini semasa mengendalikan pesakit Covid-19.-MBNews

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here