Coach Fadzil dedah 20 perniagaan ‘meletop’ beri pulangan lumayan berlandaskan ekonomi Islam

0
516
Pengasas Kumpulan Malakat Mall dan Raudhah Grocer, Mohd Fadzil Hashim

Oleh NURUL FIRDAUS KHAIRI

CYBERJAYA – Tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sememangnya memberi impak kepada negara namun pastinya mempunyai hikmah positif dalam dunia perniagaan sebaik sahaja Covid-19 berakhir.

Demikian perkongsian Pengasas Kumpulan Malakat Mall dan Raudhah Grocer, Mohd Fadzil Hashim yang berkongsi pandangan terdapat 20 jenis perniagaan dijangka berpotensi membawa pulangan lumayan kepada mereka yang terjejas.

Menurutnya, jenis perniagaan itu ialah perkhidmatan sanitasi bangunan dan pejabat, bisnes peruncitan komuniti, perkhidmatan penghantaran, produk meningkatkan sistem imunisasi tubuh badan, industri pelancongan domestik, pembangunan laman sesawang, pengurusan tadika dan sebahagian besar sektor berasaskan sekuriti makanan.

Coach Fadzil (kanan) selaku panelis dalam Wacana Sinar Harian Siri 164 bertajuk Covid-19: Jangan Putus Asa, Malaysia! yang disiarkan secara langsung di Facebook Sinar Harian malam kelmarin.

“Sebenarnya terdapat beberapa lagi jenis perniagaan berpotensi besar untuk direbut usahawan pada pasca Covid-19, namun saya fikir penyenaraian beberapa bidang di atas sudah memberi peluang cukup luas kepada mereka.

“Usahawan tempatan juga boleh mempertimbangkan pelaksanaan jenis perniagaan menyediakan bekalan makanan asas serta peralatan kesihatan seperti topeng muka, sarung tangan dan cecair pembasmi kuman pada masa hadapan,” katanya selaku panelis dalam Wacana Sinar Harian Siri 164 bertajuk Covid-19: Jangan Putus Asa, Malaysia! yang disiarkan secara langsung di Facebook Sinar Harian malam kelmarin.

Mohd. Fadzil yang lebih mesra dipanggil Coach Fadzil menasihatkan  usahawan supaya melihat PKP sebagai ruang membaiki semula asas perniagaan serta menyelaraskan kembali strategi perniagaan masing-masing untuk menghadapi pasca Covid-19.

“Paling penting, semua usahawan negara ini perlu ada pemikiran positif dan jangan mudah berputus asa.

“Sebab itu kesan kemelesetan ekonomi dunia akibat pandemik Covid-19 perlu dilihat sebagai satu peluang keemasan untuk Malaysia mengaplikasi semula pelaksanaan sistem ekonomi Islam sebenar,” katanya.

Pengasas Kumpulan Brainy Bunch itu turut berkata, sistem ekonomi dunia yang diguna pakai ketika ini terbukti banyak kepincangan dengan pakar-pakar ekonomi masih tercari-cari formula baharu untuk menyelaraskan semula sistem ekonomi.

Jelasnya, di sebalik kesan buruk Covid-19, inilah masa terbaik untuk umat manusia ‘implement’ sistem ekonomi yang betul berpandukan kepada apa yang Allah SWT tunjukkan sebelum ini.

“Insya-Allah, kita akan menunjukkan idea ekonomi Islam sebenar yang mampu mengambil alih sistem ekonomi dunia yang penuh kepincangan ketika ini.

“Kalau dilihat sistem ekonomi sekarang berasaskan kredit ekonomi di mana orang kaya akan lebih bermasalah kerana mereka lebih banyak menanggung hutang leverage lebih 10 kali ganda berbanding nilai aset mereka.

“Tetapi sistem (ekonomi) Islam tiada macam itu. Sebab itu dikatakan (sahabat Rasulullah SAW) Abdul Rahman Auf, kalau dinilai jumlah kekayaan dimiliki, beliau mungkin bergelar trilionair kerana tidak memiliki sebarang hutang,” katanya.

Wacana tersebut turut dibarisi panelis Nabila Huda Suhaimi yang merupakan seorang pelakon dan Azlan Shah Nabees Khan sebagai moderator.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here