Covid-19 : 601 warga asing dikesan positif

0
80
Kewujudan komuniti warga asing yang ‘terpisah’ daripada masyarakat umum di negara ini menjadi antara kawasan paling berisiko jangkitan Covid-19.

CYBERJAYA – Kementerian Kesihatan sehingga kini berjaya mengesan sebanyak 601 kes positif Covid-19 dalam kalangan warga asing di negara ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, sehingga pukul 12 tengahari semalam sebanyak 601 kes dikesan melibatkan 356 kes sedang dirawat, 242 telah pulih dan tiga kematian direkodkan dalam kalangan bukan warganegara Malaysia.

Golongan itu katanya, termasuk kumpulan pelancong, pekerja asing, pelarian dan pemohon suaka.

“Pecahan bagi jumlah itu adalah 108 kes bagi warganegara Indonesia, Filipina (104), Bangladesh (64), India (60) dan Pakistan (51),” katanya dalam sidang media harian di Putrajaya hari ini.

Dr. Noor Hisham berkata, bagi membendung penularan wabak tersebut, pihaknya akan mengambil langkah lebih berwaspada mengenai perkembangan itu.

“Kita mengambil iktibar daripada peningkatan sebanyak 50 peratus kes Covid-19 di Singapura yang dikaitkan dengan jangkitan dalam kalangan warga asing.

“Sehubungan itu, bagi industri yang banyak menggunakan warga asing, majikan perlu bertanggungjawab memastikan langkah-langkah keselamatan dipatuhi di tempat kerja.

Antara langkah tersebut adalah pemeriksaan suhu badan dan gejala sebelum memasuki premis; penyediaan tempat mencuci tangan; proses pembersihan dan pembasmian kuman terutamanya ruang guna sama.

“Amalkan jarak sosial selamat iaitu sekurang-kurangya satu meter termasuk di ruang kerja dan ruang makan perlu dipatuhi, tidak berkumpul di ruang sempit dan tidak terlalu ramai pekerja pada satu-satu masa,” katanya

Dalam pada itu katanya, kementerian juga menggembeleng tenaga bersama Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu Untuk Pelarian (UNHCR) bagi memastikan golongan pelarian dan pemohon suaka tidak ketinggalan dalam aktiviti pencegahan dilakukan kerajaan.

“KKM bekerjasama rapat dengan kedutaan negara-negara berkenaan di Malaysia dan juga badan bukan kerajaan (NGO) berkaitan agar dapat membantu KKM dalam usaha penyebaran dan penyampaian maklumat kepada warga asing di Malaysia dalam bahasa ibunda masing-masing.

“KKM juga akan melaporkan kes-kes positif Covid-19 kepada National IHR Focal Points (NFPs) negara-negara berkaitan,”katanya.-MT

Kewujudan komuniti warga asing yang ‘terpisah’ daripada masyarakat umum di negara ini menjadi antara kawasan paling berisiko jangkitan Covid-19.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here