Covid-19: Bilangan kes pulih terus meningkat

0
68

CYBERJAYA- Bilangan kes positif Covid-19 yang pulih dan dibenarkan discaj terus meningkat setiap hari berbanding jumlah kes baharu di negara ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, kes discaj pada hari ini ialah sebanyak 121 kes berbanding 88 kes baharu.

Beliau berkata, jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari Covid-19 dan telah discaj daripada wad adalah sebanyak 3,663 kes.

Katanya, jumlah kumulatif kes terkumpul di Malaysia ialah 5,691 kes dan kes aktif dengan kebolehjangkitan adalah 1,932 kes.

“Sehingga kini, seramai 41 kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU). Daripada jumlah tersebut, 18 kes memerlukan bantuan pernafasan.

“Dukacita dimaklumkan bahawa terdapat pertambahan satu lagi kes kematian berkaitan Covid-19,” katanya dalam sidang akhbar di Putrajaya hari ini.

Justeru itu katanya, jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 96 kes iaitu 1.69 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

“Kes kematian ke-96 merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 61 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis, darah tinggi dan penyakit buah pinggang.

“Beliau mempunyai sejarah kontak rapat dengan kes ke-1,345 yang mempunyai sejarah pulang dari negara Indonesia.

“Beliau telah dirawat di Hospital Sungai Buloh, Selangor pada 31 Mac lalu dan disahkan meninggal dunia pada pukul 2.29 pagi hari ini,” katanya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here