Covid-19: Penduduk di zon hijau jangan leka, peperangan belum tamat

0
144

CYBERJAYA – Kementerian Kesihatan melahirkan kebimbangan apabila mendapati penduduk di zon hijau daripada jangkitan Covid-19 mula mengambil mudah selepas tiada kes baharu wabak penyak itu dilaporkan di kawasan tersebut.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah, berkata perkara itu amat membimbangkan pihaknya ketika usaha memerangi Covid-19 masih giat dilaksanakan.

Berikutan itu, beliau menasihatkan supaya semua pihak termasuk di kawasan yang diisytiharkan sebagai zon hijau supaya tidak leka dan kekal mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Kementerian Kesihatan khuatir masyarakat alpa lalu mengambil mudah nasihat yang dikeluarkan kerana memikirkan wabak ini hampir selesai.

“Hakikatnya, peperangan menentang musuh yang tidak kelihatan ini belum tiba ke penghujungnya,” katanya dalam sidang akhbar harian Covid-19 hari ini.

Dr. Noor Hisham berkata, virus Covid-19 adalah musuh negara bersama dan sebarang kelalaian atau sikap mengambil mudah masyarakat adalah sekutu kepada virus itu.

Sehingga tengah hari semalam, sebanyak 66 kawasan dikategorikan sebagai zon hijau Covid-19 di negara ini.

Perlis pula menjadi negara pertama diletakkan sebagai zon hijau sejak kelmarin selepas tiada sebarang pertambahan kes baharu dilaporkan. -MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here