Cuba merasuah barisan hadapan, tiga individu terima padah

0
54

Oleh NINA FARZUIN MD SHAROM

CYBERJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan tiga individu dalam dua kes berbeza berhubung perbuatan merasuah penguat kuasa yang bertugas di barisan hadapan.

Menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini, SPRM berkata, Dalam kes pertama, dua warga Pakistan telah ditahan di Kota Kinabalu, Sabah kerana cuba menyogok pihak berkuasa sebanyak RM7,000 bagi mengelak dikenakan tindakan kerana suspek dipercayai menyeludup rokok ketika melalui sekatan jalan raya.

“Manakala dalam kes kedua, seorang peniaga ditahan kerana dipercayai telah merasuah pegawai penguat kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) sebanyak RM500 di Kluang, Johor sebagai dorongan mengelak dikenakan tindakan atas kesalahan membuka premis perniagaan tanpa kebenaran,” kata kenyataan itu.

Menurutnya, kedua-dua kes terbaharu ini menunjukkan aktiviti haram seperti penyeludupan terus berlaku selain terdapat premis perniagaan yang dibuka tanpa kebenaran walaupun dalam tempoh PKP berkuatkuasa.

“Perbuatan yang menyalahi undang-undang seperti ini secara tidak langsung turut mendorong kepada perbuatan rasuah.

“Dalam hal ini, SPRM merakamkan syabas dan tahniah kepada pihak berkuasa di barisan hadapan kerana ketegasan yang ditunjukkan terhadap penjenayah dan perasuah,” katanya.

Jelas kenyataan itu, sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebanyak 286 maklumat dan 22 aduan berhubung kes rasuah, salah guna kuasa serta penyelewengan telah dilaporkan.

Justeru SPRM menegaskan akan terus menjalankan siasatan walaupun dalam keadaan terbatas dengan berpandukan garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) PKP yang telah ditetapkan.

“Demi kepentingan pihak terlibat, pejabat-pejabat SPRM di seluruh negara tetap dibuka dan terdapat pegawai ditugaskan secara bergilir-gilir dengan bilangan minima bagi mengambil tindakan terhadap maklumat yang diterima,” katanya. – MBN

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here