Jangan biarkan angka kematian Covid-19 atasi wabak selesema Sepanyol

0
168
Wabak selesema Sepanyol yang menyerang dunia 100 tahun lalu menyebabkan satu pertiga penduduk dunia dijangkiti

KIRA-KIRA 100 tahun lalu, seluruh dunia dikejutkan dengan satu pendemik selesema yang paling dahsyat sehingga menjangkiti kira-kira 500 juta orang atau kira-kira satu pertiga daripada penduduk di dunia ketika itu.

Lebih menggerunkan, wabak tersebut yang dikenali sebagai selesema Sepanyol telah menyebabkan angka yang terkorban mencecah sehingga 50 juta orang di seluruh dunia.

Angka kematian yang sangat tinggi itu menyebabkan banyak premis perniagaan dan sekolah ditutup. Mayat-mayat pula bertimbun di rumah-rumah mayat sebelum diuruskan.

Selepas 100 tahun, secara tiba-tiba wabak yang berbeza tetapi menyebabkan angka jangkitan yang sangat tinggi kembali berlaku.

Tetapi wabak Covid-19 yang sedang melanda dunia sekarang dalam tempoh kira-kira lima bulan sahaja telah mencatatkan lebih 1.3 juta jangkitan di seluruh dunia.

Pesakit selesema Sepanyol yang sedang menerima rawatan di Hospital Tentera Switzerland pada 1918

Berbeza ketika selesema Sepanyol menyerang dunia waktu itu, wabak tersebut mengambil masa selama dua tahun bermula tahun 1918 sebelum angka jangkitan mencecah 500 juta orang.

Lebih membimbangkan, meskipun dengan dengan kemajuan teknologi perubatan, vaksin untuk virus berkenaan masih belum ditemui hingga menyebabkan angka kematian telah 76,328 kes di seluruh dunia.

Dan di Malaysia sahaja sebanyak 63 kes kematian direkodkan. Setiap hari, terdapat kes kematian direkodkan.

Apa yang dirisaukan dengan kepantasan teknologi dan pengangkutan ketika ini jumlah yang bakal dijangkiti virus berasal dari Wuhan, China itu mungkin bertambah.

Ketika selesema Sepanyol menyerang, penduduk dunia hanya dihubungkan dengan pengangkutan keretapi dan kapal pengangkut. Keadaan ini menyebabkan terdapat kemungkinan kelajuan virus ini menyerang penduduk di kawasan atau negara lain agak perlahan.

Berbanding waktu sekarang seluruh dunia dihubungkan dengan kapal terbang yang menyebabkan perjalanan lebih pantas dan faktor menyebab Covid-19 merebak ke seluruh dunia dengan pantas juga berpunca daripada situasi ini.

Gelombang pertama jangkitan Covid-19 di Malaysia berpunca daripada kedatangan pelancong China ke Malaysia dan punca gelombang kedua pula dikaitkan dengan seorang individu yang pernah melancong ke Korea Selatan.

Paling membimbangkan sekarang apabila Kementerian Kesihatan (KKM) menjangkakan gelombang ketiga pula bakal muncul sekiranya rakyat Malaysia yang tiba dari luar negara tidak dikuarantin terlebih dahulu.

Sejak minggu lalu rakyat Malaysia yang berada di luar negara mula pulang hingga menimbulkan kebimbangan berlakunya gelombang ketiga Covid-19

Selain itu, terdapat faktor lain juga yang mungkin menyebabkan pertambahan kes jangkitan apabila KKM mendedahkan golongan umur 26 hingga 30 tahun merupakan kumpulan kedua yang paling tinggi dijangkiti.

Ini kerana kumpulan tersebut gemar berkeliaran di luar rumah meskipun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah dikuatkuasakan sejak 18 Mac lalu.

Malah, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sendiri mendedahkan dalam sidang akhbar hariannya bahawa jumlah tangkapan kumulatif yang ingkar PKP bermula 18 Mac hingga semalam adalah sebanyak 6,451 individu.

Angka ini sangat membimbangkan walaupun tahap pematuhan rakyat semakin tinggi. Ketika jutaan rakyat lain berkorban mengikut perintah kerajaan dengan duduk di rumah, masih terdapat saki baki yang degil dan keras kepala sengaja tunjuk ‘hero’ memberontak dengan keputusan terbabit.

Kurang pasti jika mereka ini tidak membaca berita luar negara atau sememangnya sengaja mahu mengundang padah.

Negara seperti Itali, United Kingdom dan Amerika Syarikat yang mendabik dada mengaku sebagai negara maju, terpaksa berhadapan dengan pertambahan kes positif dan kematian Covid-19 yang tinggi setiap hari kerana rakyatnya berdegil masih mahu keluar rumah.

Kononnya mereka keluar untuk mengambil angin, bersiar-siar dan berparti di hujung minggu sehingga ada kelab malam dibuka ketika waktu kritikal seperti ini. Natijahnya sekarang negara-negara maju ini menjadi antara negara yang mempunyai kes jangkitan dan kematian Covid-19 paling tinggi di dunia.

Sehingga semalam sebanyak 6,451 individu ditahan kerana ingkar PKP

Percayalah, jika semua pihak mahu masih memberontak dan tidak mahu akur kepada arahan PKP ataupun lockdown yang sedang dilaksanakan, tidak mustahil angka kematian dan jangkitan Covid-19 boleh mengatasi wabak selesema Sepanyol.

Jika keadaan tersebut berterusan, kita di Malaysia bukan sahaja tidak boleh menyambut Hari Raya Aidilfitri pada hujung bulan hadapan, silap hari bulan kita juga mungkin bakal kehilangan ahli keluarga tersayang kerana Covid-19.

Jadi, jom sama-sama kita haria Covid-19 dari muka bumi Malaysia dan seterusnya dunia supaya semua dapat menjalani kehidupan seperti biasa semula. -MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here