Jumlah individu ditangkap ingkar PKP menurun

0
38

Oleh SITI AZIELAH WAHI

CYBERJAYA -Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, polis telah menangkap 386 individu ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semalam.

Ismail Sabri berkata, jumlah tangkapan itu menunjukkan penurunan berbanding 550 tangkapan pada hari sebelumnya.

Menurutnya, daripada semua yang ditangkap, seramai 332 individu yang direman dan 54 individu dijamin polis.

“Tangkapan ke atas individu didapati semakin berkurangan hari ke hari dan diharapkan trend ini berterusan, “katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Khas Menteri-Menteri Mengenai PKP hari ini.

Selain itu Ismail Sabri memaklumkan sebanyak 537,320 kenderaan telah diperiksa oleh pihak polis dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam 830 sekatan jalan raya di seluruh negara semalam.

“Pihak berkuasa juga telah mengadakan 40,892 pemeriksaan mengejut dengan memeriksa 5,817 premis di seluruh negara.

“Seramai 649 individu telah dituduh di mahkamah semalam dan jumlah tangkapan kumulatif ingkar PKP sejak 18 Mac sehingga 24 April 2020 adalah sebanyak 19,434 individu,” katanya.

Pada masa sama Ismail Sabri mengucapkan terima kasih kepada semua rakyat yang mulai sedar dan mematuhi setiap arahan PKP.

Beliau juga mengucapkan penghargaan kepada pihak polis, ATM dan semua agensi lain yang terlibat bagi memastikan pematuhan rakyat semasa PKP. – MBNews

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here