Jurutera kargo Rusia diselamatkan di Temerloh

0
501

TEMERLOH – Seorang jurutera kargo dari Rusia diselamatkan oleh polis daerah ini selepas ditemui berkeliaran sambil mengadu memerlukan makanan di hadapan sebuah restoran makanan segera semalam.

Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd. Yusri Othman berkata, lelaki berumur 42 tahun itu yang berasal dari Moscow, Rusia ditemui berlegar-legar di hadapan Pasar raya TMJ Temerloh kira-kira pukul 4.30 petang semalam.

Menurut Mohd. Yusri, hasil siasatan awal mendapati lelaki tersebut telah memasuki negara ini melalui sempadan Thailand-Malaysia (Bukit Kayu Hitam) pada 17 Mac lalu.

“Jurutera tersebut merupakan seorang ‘backpackers’ yang datang ke negara ini dengan tujuan melancong. Ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada 18 Mac lalu, dia berada di Kuantan.

“Kemudian dia berusaha untuk pulang ke Rusia namun tiket penerbangannya dibatalkan dan telah gagal menghubungi dua rakannya,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dipercayai menumpang sebuah lori, warga Rusia itu kemudiannya telah diturunkan di Temerloh oleh sebuah lori yang sedang dalam perjalanan menuju ke Kuala Lumpur semalam, sebelum pihak polis menemukannya.

Gambar lelaki berkenaan yang memegang potongan kotak yang tertulis “I can’t go home and have no money. I need a food (Saya tidak boleh pulang dan tiada duit (saya lapar) di hadapan sebuah restoran makanan segera di bandar itu kemudian tular.

Gambar berkenaan dimuat naik dalam Facebook oleh seorang pemilik akaun media sosial lalu menarik perhatian warga maya.

Sementara itu, Mohd. Yusri memberitahu, lelaki tersebut kemudian dibawa ke Klinik Kesihatan Tanjung Lalang untuk menjalani saringan kesihatan berhubung Covid-19 dan dibawa ke Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh untuk tindakan lanjut.

“Pihak kedutaan Rusia telah dihubungi dan kini pihak polis sedang berusaha menguruskan penghantaran lelaki itu kepada pihak kedutaan di Kuala Lumpur sebelum dihantar pulang ke negara asal,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here