Kenapa kelajuan internet perlahan, ini jawapan MCMC

0
518

CYBERJAYA – Peningkatan penggunaan persidangan video, pembelajaran dan aktiviti membeli belah melalui internet menyumbang kepada peningkatan permintaan jalur lebar yang lebih tinggi sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan sejak 18 Mac lalu.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam kenyataan berkata, pematuhan terhadap PKP dengan meminta rakyat berada di rumah menyaksikan peningkatan terhadap internet begitu mendadak.

Jelasnya, pada minggu pertama PKP dilaksanakan menyaksikan peningkatan sebanyak 23.5 peratus dalam aliran trafik internet di seluruh negara manakala minggu kedua pula meningkat 8.6 peratus.

“Peningkatan kepada penggunaan data menyebabkan kesesakan dan penurunan kelajuan muat turun.

“Ini memberi kesan kepada pengalaman pengguna kerana tempoh lebih panjang diperlukan memuat turun sesuatu kandungan terutama perkhidmatan memerlukan jalur lebar tinggi seperti penstriman video berdefinisi tinggi,” katanya.

Tambah kenyataan itu, menurut laporan Mobile Experience During the Covid-19 Pandemic: 4G Download Speed oleh Opensignal, kelajuan muat turun 4G Malaysia secara purata turun daripada 13.4 megabait sesaat (Mbps) pada awal Februari lalu kepada 8.8 Mbps minggu lalu.

“Trend sama turut dirasai di seluruh dunia yang mana perkhidmatan berhadapan situasi peningkatan penggunaan jalur lebar ayng tinggi dan tidak pernah dialami sebelum ini,” ujarnya.

Kata kenyataan itu, pihak pemberi perkhidmatan internet dan telekomunikasi sedang bertungkus lumus menambah kapasiti jalur lebar bagi memastikan penyampaian perkhidmatan penting berterusan sepanjang PKP.

“Industri telekomunikasi sedang memperkukuhkan prestasi rangkaian masing-masing melalui pelaburan tambahan bernilai RM400 kita seperti diumumkan dalam Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) baru-baru ini.” katanya.

Kata kenyataan itu, MCMC dan pihak pemberi perkhidmatan sedang bekerjasama memantau prestasi rangkaian dan memudahcara sebarang cabaran dihadapi oleh mereka.

Tambahnya, ia termasuk melaksanakan tugas seperti membina infrastruktur tambahan serta menyelenggara tapak sedia ada termasuk kelulusan daripada pihak berkuasa. – MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here