Menjadi miskin itu satu dugaan, menjadi kaya pula lebih dahsyat dugaannya

0
59

CYBERJAYA – Sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan kerajaan, pelbagai ragam boleh dilihat apabila rakyat melakukan aktiviti di rumah.

Ada antara mereka terutama lelaki menjadi ‘ibu’ kepada anak-anak kecil ketika bermain ‘masak-masak’. Walaupun nampak lucu tetapi itulah cara merapatkan hubungan bersama keluarga.

Namun ada juga menghadapi masalah terutama anak-anak yang menuntut ilmu di luar negara menyebabkan ibu bapa mereka bimbang akan keselamatan mereka di saat wabak Covid-19 melanda di seluruh dunia.

Seorang pemilik akaun Facebook bernama Dang Anum berkongsi kisahnya apabila ada ibu bapa meminta pertolongannya untuk membawa pulang anak mereka ke tanah air.

Berikut catatan penuhnya di bawah.

Assalamualaikum,

Petang semalam sistur dapat khidmat pesanan ringkas, seorang bapa sedang berusaha membawa pulang tiga orang anaknya dari Pusat Pengajian Pondok atau Madrasah di Indonesia.

Mungkin ramai antara kita yang cakap, ‘Pandai pergi, pandailah dia balik,’ ada juga yang menunding jari ke arah Wisma Putra dan pihak kerajaan.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang Dang Anum kasihi sekalian (Sinsing lengan dah ni).

Sistur nak pesan, ada kalanya bukan semua perkara semudah yang anda sangka dan tiada seorang pun bapa yang mahu menyusahkan orang lain, membuka aib sendiri dengan masalah keluarga sendiri.

Selain seorang bapa tadi, sistur juga melayan beberapa panggilan dan aplikasi WhatsApp lain daripada ibu bapa lain. Anak-anak mereka bukanlah di pusat pengajian pondok, sebaliknya anak mereka merupakan pelajar cemerlang dan mendapat biasiswa menyambung pelajaran di beberapa universiti terkemuka dunia. Dengan bidang yang bukan calang-calang, perubatan, perakaunan, kejuruteraan.

Kebanyakkan kalau dah hubungi sistur ini memang untuk meminta bantuan. Bantuan apa? nak bawa anak balik, risau anak tiada depan mata dan bermacam-macam lagi kisah dunia yang amat-amat menyedihkan yang sistur dengar.

Sistur bukanlah orang hebat mana, adalah sedikit kawan-kawan yang boleh menghulurkan bantuan. Orang yang tidak disangka-sangka, orang yang kalau dia tak ambil tahu hal rakyat jelata ni pun tak apa, harta dia tujuh keturunan tak habis. Tapi, kebanyakkan yang membantu ialah orang biasa. Macam sistur juga, orang ‘beshe-beshe’ aje.

Apa yang sistur nak bagitau kat sini ialah, bila ada pihak yang datang memberitahu akan kesusahan dan kepayahan dia, ketahuilah bahawa dia sudah memikirkannya lebih seribu kali sebelum membuka mulut.

Janganlah kita menambah beban di kepala dan keresahan dihati mereka dengan mempersoalkan perkara yang kononnya anda rasa dapat menyelesaikan masalah mereka. Jika benar, tidakkah anda rasa mereka akan cari penyelesaian dahulu sebelum membuka mulut dan meminta bantuan?

Tahu tak betapa sukarnya seorang bapa, untuk membuka mulut memohon bantuan pihak lain untuk anaknya? Betapa dia rasa dia gagal sebagai seorang bapa?

Sistur bercakap tentang Datuk dan Datin yang menghantar anak keluar negara ni, bukan sentiasa mereka akan berada diatas. Kehidupan ini sentiasa berputar, maka sama-samalah kita merendah diri, dan berlapang dada membantu seikhlasnya.

Walaupun RM1, ia pasti akan menceriakan orang lain. Kita mudahkan urusan orang, Allah mudahkan urusan kita.

Menjadi miskin itu satu dugaan, Menjadi kaya pula lebih dahsyat dugaannya. Ada sahaja bisikan Syaitan yang menidakkan dan menghalang usaha anda untuk bersedekah.

Percayalah, Sedekah itu mudah, tetapi amat berat untuk dilakukan kecuali jika anda lakukannya dengan iman dan keikhlasan.

Jika anda mahu menyumbang dan prihatin dengan golongan memerlukan boleh berbuat demikian di www.sadaqahmarket.com . – MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here