MyCar tawar perkhidmatan SuperHelper

0
103

CYBERJAYA- MyCar pada 4 April lalu telah melancarkan perkhidmatan tambahan di dalam aplikasi MyCar yang dikenali sebagai SuperHelper.

Pegawai Perhubungan MyCar, Nur Amira Ahmad berkata, perkhidmatan tambahan itu bagi membantu pelanggan membeli barangan.

Beliau berkata, SuperHelper juga menawarkan khidmat penhantaran dengan menggunakan aplikasi MyCar di seluruh negara.

“MyCar yang sinonim dengan perkhidmatan pengangkutan e-hailing telah mengadakan inisiatif baru untuk memudahkan rakyat Malaysia ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)

“Kelebihan utama SuperHelper ini adalah taburan capaian pemandu MyCar yang ramai di kesemua bandar utama di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Nur Amira, MyCar juga menawarkan perkhidmatan Shop For You yang dapat membantu pengguna membeli barangan pilihan di mana-mana premis barangan keperluan.

“Caj perkhidmatan yang berpatutan akan dikenakan bagi pembelian apa sahaja barangan dan untuk kuantiti yang banyak. Dalam kata lain, pembeli boleh meminta pemandu MyCar untuk membeli barang yang dihendaki di premis yang disukai mereka dengan jumlah yang diperlukan.

“Di samping itu, servis SuperHelper oleh MyCar ini juga diharapkan dapat menjana pendapatan pemandu yang terjejas akibat dari penularan wabak Covid-19,” katanya.

Selain itu katanya, menerusi SuperHelper, orang ramai tidak perlu lagi keluar dari rumah bagi membeli barangan keperluan harian, hanya gunakan aplikasi MyCar untuk memesan, membuat pembayaran dan pesanan akan dihantar terus ke rumah oleh pemandu MyCar.

“Perkhidmatan barangan yang ditawarkan antaranya adalah makanan siap dimasak, ubat-ubatan, barangan farmasi, barangan keperluan harian, barangan dapur kering dan basah, gas memasak, bungkusan, surat dan juga apa sahaja bentuk pembelian dan penghantaran yang sah di sisi undang-undang.

“Pengguna juga boleh membuat tempahan sehari lebih awal agar pembelian dapat dibuat dengan lebih awal dan dihantar pada waktu yang dibenarkan sepanjang tempoh PKP dilaksanakan.

“Ini kerana, pembelian barang di premis mungkin akan mengambil masa yang lama disebabkan oleh amalan penjarakan selamat yang diamalkan oleh semua premis perniagaan,” katanya.

Melalui SuperHelper katanya, rakyat Malaysia dapat bersama-sama membantu untuk menyekat penularan wabak Covid-19 dengan tidak perlu bersesak-sesak untuk membeli barangan keperluan di tempat awam seperti premis jualan dan pasar raya atau sebagainya. -MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here