Pahang cari lebih banyak pembekal material PPE

0
24

KUANTAN – Kerajaan Negeri Pahang memohon pembekal atau kilang yang menghasilkan material membuat peralatan perlindungan diri (PPE) membantu membekalkan bahan itu bagi kegunaan petugas yang mengendalikan kes Covid-19 di negeri ini.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Dr. Sallehuddin Ishak berkata, mereka memerlukan bahan itu dalam kuantiti yang banyak supaya petugas kesihatan dan yang terlibat dengan pesakit Covid-19 tidak bimbang dengan kekurangan PPE.

Menurut beliau, hampir 10,000 unit PPE diperlukan setiap hari di hospital dan pusat kurantin di Pahang kerana selain petugas kesihatan, PPE turut digunakan oleh petugas sokongan seperti pekerja pembersihan dan penyajian makanan.

“Kita mendapatkan material membuat PPE dari Kuala Lumpur namun keperluan menghasilkan PPE dalam kuantiti yang banyak menyebabkan kita perlu mencari lebih ramai pembekal, sama ada mereka mahu menderma atau menjual.

“Kita tidak mahu mereka yang bertugas mengendalikan pesakit Covid-19 risau dengan kekurangan PPE atau perlu menghasilkan PPE sendiri. Tugas mereka sudah sedia sibuk dan jangan disukarkan lagi urusan mereka,” katanya seperti dipetik Bernama hari ini.

Sallehuddin berkata demikian selapas meninjau proses pembuatan pelindung muka secara sukarela oleh 60 pelajar Kolej Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (KUIPSAS) di sini hari ini.

60 pelajar kolej universiti itu yang tidak dapat pulang selepas pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan dan melakukan kerja sukarela membuat pelindung muka untuk petugas barisan hadapan.

Beliau berkata kerajaan negeri tidak mempunyai kesukaran dari aspek tenaga kerja untuk menghasilkan PPE kerana menerima banyak bantuan daripada agensi kerajaan, institusi pengajian tinggi dan badan bukan kerajaan (NGO).

“Kita juga mengalu-alukan lebih ramai NGO untuk turut sama membantu petugas barisan hadapan. Mereka yang berminat perlu menghubungi Pejabat Kerajaan Negeri Pahang bagi mendapatkan material selain perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) pembuatan PPE,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here