Pejuang ekonomi kongsi detik cemas, penuh bermakna mengenai Malakat Mall

0
123
Malakat Mall

Oleh NURUL FIRDAUS KHAIRI

CYBERJAYA – Pengasas Malakat Mall, Mohd Fadzil Hashim dengan tenang menjawab soalan moderator dalam Wacana Sinar Harian baru-baru ini bahawa beliau menganggap sesuatu perkara yang terjadi adalah satu perjuangan dalam hidupnya.

Beliau berkata demikian ketika moderator bertanyakan soalan bagaimana beliau berdepan dengan tekanan apabila terpaksa menutup pusat beli belah, Malakat Mall akibat Covid-19 walaupun mendapat sambutan luar biasa semasa pra pelancaran.

Menurutnya, dia senada dengan pelakon, Nabila Huda menganggap seseorang yang positif tidak mengalami tekanan.

“Kalau kita buat sesuatu atas nama perjuangan, sesuatu yang kita yakini, apa yang datang itu adalah cabaran yang kita harus atasi. Malakat Mall sempat beroperasi empat hari sebelum PKP. Ia menyaksikan lebih 24,000 pengunjung,

“Tiga hari pertama itu seperti serangan tsunami. Sewaktu pusat beli belah itu dibuka, kita kelam kabut dan kerja tak berhenti. Sebab kita bukan sahaja buka ‘grocer’ sahaja tetapi kedai-kedai lain di dalam mall itu sendiri.” katanya menceritakan detik cemas namun bermakna dalam hidupnya.

Lebih mesra dengan panggilan Coach Fadzil beliau berkata, bayangkan kakitangan di bahagian bayaran seperti tidak boleh hendak berdiri.

“Bila ada PKP mereka rasa seperti dapat cuti pula. Kalau kami tak buka mall itu lagi, saya akan duduk di rumah sahaja.

“Tetapi oleh sebab ada pasaraya Raudhah Grocer, pada hari pertama PKP dilaksanakan, kami terus lancarkan program bantuan B40 yang dinamakan Program Zero Hunger khususnya untuk mereka yang bergaji harian yang terus terkesan dari segi pendapatan,” katanya yang akan meneruskan gerak kerja seperti biasa.

Mengulas lanjut, jelasnya, pada mulanya Zero Hunger hanya difokuskan ke kawasan berhampiran seperti di Cyberjaya sahaja.

Tetapi katanya, pihaknya mendapat permintaan yang banyak hingga programnya meliputi seluruh Semenanjung dengan lebih 70,000 permintaan.

“Bagaimanapun, buat masa ini Zero Hunger baru mendapat dana untuk 4,000 permintaan dan kami masih meneruskan usaha ini.

“Bayangkan kalau kami tiada lagi mall itu. Allah susun untuk kita reset dan review (lihat) apa yang kita lakukan.

“Allah hantar Covid-19, satu makhluk yang kita tidak nampak dengan mata kasar. Benda ini bukan benda yang baik, tetapi kalau kita nampak sisi baiknya, seperti ada masa dengan anak macam yang Nabila Huda katakan, tiba-tiba ada masa kita dapat bayar balik hutang dengan berada bersama mereka,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here