‘Peniaga kecil ubah cara berniaga penuhi permintaan pelanggan’

0
245

CYBERJAYA – Tidak dinafikan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyebabkan peniaga kecil-kecilan amat terkesan dalam meneruskan perniagaan mereka.

Bagaimanapun ia bergantung kepada peniaga itu sendiri untuk mencari rezeki sama ada kekal atau mengubah perniagaan dalam meneruskan kelangsungan hidup.

Bagi seorang peniaga Dadih Adilah, dia menukar kaedah perniagaannya dengan membuat penghantaran kepada pelanggan yang menempah produknya secara dalam talian.

Peniaga tersebut, Azlizan Hashim berkata, sebelum PKP dilaksanakan produknya diletakkan di kedai-kedai makan dan kek; butik serta tempahan majlis-majlis keraian dan perkahwinan.

Tambahnya, kali ini dia menghantar pesanan yang dibuat oleh pelanggan memandangkan semua kedai tutup sepanjang PKP itu.

“Daripada pendapatan memang ada kesan sebab pelanggan berhati-hati berbelanja.

“Alhamdulillah rezeki itu Allah dah janji untuk kita. Walaupun tidak serancak sebelum PKP tetapi tempahan dadih masih ada dan saya menghantar sendiri kepada pelanggan,” katanya kepada Malakat Tribune.

Azlizan yang menjual dadih sekitar Kulim, Kedah berkata, walaupun jumlah tempahan turun antara 30 hingga 50 peratus dia tetap bersyukur kerana menyahut seruan kerajaan membendung wabak Covid-19 di negara ini.

Tambahnya, kerajaan juga telah memberi pelbagai bantuan kepada rakyat termasuk peniaga kecil sekali gus membolehkannya merancang kewangan dengan berhemah.

Azlizan juga bersyukur kerana harga petrol yang murah membolehkannya bergerak di sekitar Kulim menghantar tempahan kepada pelanggan.

“Ada hikmah di sebalik kejadian ini dan tidak perlu mengeluh cuma kena fikirkan bagaimana cara untuk meneruskan kelangsungan perniagaan supaya tidak terhenti.

“Keadaan sebelum dan semasa PKP memang berbeza. Cuma kita kena ubah cara hidup dan perbelanjaan. Kalau tidak memang tak boleh ‘hidup’ nanti,” ujarnya.

Walaupun kebanyakan negeri membatalkan bazar Ramadan, Azlizan berkata, dia perlu kreatif dalam memastikan produknya tidak terjejas. 

Katanya, dia mempromosikan produknya dalam laman sosial bagi memudahkan pelanggan membelinya.

“Sebelum puasa saya dan isteri mempromosikan iklan dalam media sosial supaya pelanggan tahu yang kami beroperasi dari rumah dan mempunyai perkhidmatan penghantaran dari rumah ke rumah.

“Jangan jadikan PKP ini satu alasan untuk tidak berniaga. Orang yang bekerja makan gaji pun boleh dapat pendapatan sampingan sekali gus mereka tidak keputusan wang,” ujarnya. 

Penduduk sekitar Kulim yang ingin membuat tempahan boleh menghubungi Azlizan ditalian 012-5621407 dan Yati  (017-4162646) – MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here