Peperangan melawan Covid-19 belum tamat – Perdana Menteri

0
59

Pasukan keselamatan negara antara barisan hadapan negara yang berjuang mengekang penularan Covid-19 bersama petugas kesihatan

CYBERJAYA – Tan Sri Muhyiddin Yassin mengingatkan semua pihak supaya tidak leka memandangkan ‘peperangan’ dengan musuh nombor satu negara sekarang, Covid-19 masih belum berakhir.

Perdana Menteri berkata, ‘pertempuran’ tersebut masih berlangsung dan setakat ini negara mengekangnya dengan baik.

“Ingin saya ingatkan pada semua, peperangan terhadap Covid-19 masih belum tamat. Pertempuran ini masih berlangsung, kita telah lakukan yang terbaik setakat ini.

“Jadi marilah kita bersama-sama meningkatkan semangat masing-masing dan terus berjuang. Jika kita bersungguh-sungguh, insya-Allah kita pasti menang,” katanya dalam perutusan khas Perdana Menteri hari ini.

Perdana Menteri berkata, sebagai Perdana Menteri, beliau bertanggungjawab menjaga keselamatan nyawa semua pihak tidak kira bayi, orang muda, dewasa atau warga emas.

Petugas kesihatan di hospital kerajaan terus cekal dan tabah bertempur dengan Covid-19

“Kehilangan satu nyawa kerana virus ini bukan bererti kehilangan kepada suami, isteri, anak-anak atau keluarga terdekat sahaja, tetapi juga satu kehilangan besar buat negara.

“Kerana itu, marilah kita bersama-sama menjaga kesihatan diri kita, keluarga kita dan orang-orang di sekeliling kita dengan mematuhi perintah kawalan pergerakan,” katanya.

Dalam pada itu, Perdana Menteri turut melahirkan perasaan syukur dengan tahap kepatuhan rakyat Malaysia terhadap Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Saya bertuah kerana anda semua adalah insan yang berdisiplin dan patuh kepada undang-undang.

“Tahap pematuhan PKP di negara kita adalah tinggi dan ini menunjukkan saudara-saudari semua faham akan kepentingan menjaga kesihatan dan keselamatan diri,” ujarnya.

Sehubungan itu, Perdana Menteri meminta semua pihak supaya terus menunjukkan sikap terpuji, berusaha, berdoa dan bertawakkal.

“Insya-Allah kita akan berjaya mengharungi ujian ini bersama-sama. Kepada Allah jualah kita berserah,” katanya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here