PKP bantu bendung penularan Covid-19

0
46

CYBERJAYA- Kementerian Kesihatan (KKM) menyambut baik pelanjutan dua minggu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang diumumkan Perdana Menteri hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, langkah berkenaan memberi ruang kepada Kerajaan untuk memerangi penularan Covid-19.

Dr. Noor Hsiham berkata, pelaksanaan PKP di negara ini telah dapat membantu KKM dalam membendung penularan penyakit ini kepada satu tahap yang sedikit stabil.

“Ini dapat diperhatikan daripada trend kes Covid-19 dan trajektori yang diunjurkan melalui kajian telah dijalankan oleh KKM.

“Ia masih di peringkat pertengahan dan masih memerlukan tindakan pencegahan serta kawalan yang berterusan,” katanya dalam sidang akhbar harian Covid-19 di Putrajaya hari ini.

Malahan katanya, ia perlu dipesatkan lagi bagi memutuskan rantaian penularan jangkitan ini melalui peningkatan aktiviti sedia ada serta beberapa pendekatan baharu dan khusus kepada kumpulan sasar tertentu.

“Ini adalah wajar, sepertimana yang disebut sendiri oleh Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia, Dr. Tedros Adhanom Ghebreyesus, iaitu tindakan agresif seperti melaksanakan PKP dapat memberi peluang kepada sesebuah negara untuk mengharungi jangkitan Covid-19.

“Dr. Tedros turut mengingatkan bahawa tindakan untuk menamatkan perintah ini dengan terlalu awal boleh mengakibatkan penularan semula Covid-19 di sesebuah negara. Dikhuatiri, kes penularan mungkin akan rancak kembali berlaku dalam kalangan masyarakat.

“Orang ramai akan terus dijangkiti, warga emas dan golongan berisiko tinggi akan terkesan dan kapasiti sistem kesihatan akan semakin tipis untuk melawan gelombang yang mungkin lebih besar daripada apa yang dilihat kini,” katanya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here