Tanpa terawih di masjid, bazar sambutan Ramadan tahun ini berbeza – Perdana Menteri

0
75
Solat terawih secara berjemaah di masjid mungkin tidak dapat dilaksanakan bagi membendung penularan Covid-19

CYBERJAYA – Kehadiran bulan Ramadan yang penuh keberkatan tidak lama lagi mungkin disambut secara penuh berbeza berbanding tahun-tahun sebelum ini.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, penularan wabak Covid-19 memerlukan semua pihak khususnya umat Islam yang menyambut kedatangan bulan Ramadan melakukan ibadah di rumah sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuat kuasa.

“Bulan Ramadan akan menjelang tiba tidak lama lagi. Kita tidak boleh ke bazar Ramadan untuk membeli juadah berbuka puasa, tidak boleh ke masjid untuk berterawih.

“Jadi berterawihlah di rumah bersama keluarga. Mungkin juga kita tidak boleh balik ke kampung seperti biasa. Walaupun sukar untuk kita bayangkan perkara ini, tetapi inilah kenyataan yang akan kita hadapi,” katanya dalam perutusan khas Perdana Menteri hari ini.

Bazar Ramadan pada tahun ini juga dijangka dibatalkan berikutan tempoh PKP yang dilanjutkan

Dalam pada itu, Perdana Menteri turut mengingatkan orang ramai untuk bersedia menjalani kehidupan dengan “the new normal” atau kebiasaan baharu.

“Apa yang biasa kita buat dahulu, tak boleh kita buat lagi. Contoh mudahnya, berjabat tangan. Kalau dulu berjabat tangan bila berjumpa adalah satu perkara yang biasa dibuat.

“Kalau tak dibuat ianya dianggap janggal, atau tak beradab tetapi sekarang ini lain. Kita tak boleh berjabat tangan bila berjumpa untuk mengelakkan jangkitan virus.

“Mungkin kita tunduk sahaja sebagai tanda hormat. Ini adalah “the new normal”, atau kebiasaan baharu,” ujarnya.

Pada masa sama, Perdana Menteri turut mengingatkan supaya kerap membasuh tangan basuh tangan dengan menggunakan sabun dan memakai topeng muka bagi mengelakkan dijangkiti virus tersebut.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here